TAPAH – Hati mana yang tidak menangis tatkala melihat jentera Barisan Nasional (BN) bertungkus-lumus berkempen menyantuni pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning tanpa dapat disertainya.
Itu yang diluahkan veteran wanita UMNO, Fatimah Mat Rani, 81, ketika ditemui Malaysia Gazette (MG) Perak di kediamannya di Kampung Batu Masjid, Temoh, di sini.
Pesara Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) itu berada di dalam UMNO selama 36 tahun dan tidak pernah terlepas untuk berkempen bersama Jentera BN dalam setiap kali Pilihan Raya Umum (PRU).
Menurut Fatimah, kesedihan kehilangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning, Allahyarham Ishsam Shahruddin masih dirasa dan bagi membalas jasanya, warga emas itu berniat untuk membantu pengantinya berkempen semasa Pilihan Raya Kecil (PRK).
Bagaimanapun dia berkata, hasratnya tidak kesampaian selepas kakinya disahkan doktor dijangkiti kuman sehingga menyukarkannya untuk berjalan serta berdiri lama.
“Mak cik tiada penyakit lain selain darah tinggi tetapi 18 puasa (Ramadan) lalu kaki mak cik kena jangkitan kuman jadi tidak boleh bergerak.
“Bila jadi macam ini memang sayu mak cik rasa, sebab kita sudah biasa naik motosikal pergi ke ceruk rantai (kawasan) untuk mendekati pengundi tiap kali pilihan raya,” katanya.
Bantu jentera kenal pasti penyokong BN
Fatimah yang pernah menjadi ketua wanita selama 20 tahun berkata, meskipun tidak dapat bersama-sama jentera BN berkempen dia masih menabur khidmatnya kepada parti melalui cara lain.
“Alhamdulillah walaupun tidak dapat berkempen sama masih ada ahli UMNO yang datang ke rumah meminta bantuan untuk mengenal pasti penyokong parti bagi memudahkan mereka berkempen.
“Mereka tahu mak cik sudah tinggal di kampung ini 81 tahun dari lahir lagi, semua pasal orang kampung mak cik tahu, jadi bila mereka datang rujuk dengan mak cik gembira rasanya.
“Kita ini bukanlah berkelulusan tinggi macam orang lain tetapi pengalaman itu memang ada,” seloroh beliau.
Sudah lama kenal Ustaz Yusri, doa kemenangan beliau
Ditanya mengenai calon BN Dr Mohamad Yusri Bakir atau lebih mesra disapa Ustaz Yusri, Fatimah berkata, pilihan pimpinan BN meletakkan anak tempatan itu tepat dalam memenangi hati pengundi.
“Ustaz Yusri ini cukuplah mak cik kenal bapanya pun ustaz. Dua-dua baik orangnya, bila bercakap pun baik tidak kasar.
“Sepanjang mengenali Ustaz Yusri mak cik perhatikan bila dia jumpa orang dia akan bertegur sapa serta tahu menyesuaikan diri. Mak cik doakan mudah-mudahan menanglah dia nanti,” katanya.
Fatimah turut menzahirkan rasa terima kasih atas keprihatinan Ustaz Yusri sudi menziarahinya bersama Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan di kediamannya.
Katanya, ia membuktikan segala pengorbanan dan jasa kepada UMNO selama 36 tahun dihargai pimpinan parti serta jentera.
“Gembira rasanya bila ornag mengunjungi kita, orang hormat kita, beratkan kita,” katanya.
PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April ini diadakan berikutan kematian penyandangnya Ishsam Shahruddin, 59, pada 22 Februari lepas akibat serangan jantung.
Pertandingan tiga penjuru itu menyaksikan pertembungan antara Ustaz Yusri mewakili BN, Abd Muhaimin Malek dari PN dan Bawani KS dari Parti Sosialis Malaysia (PSM). -MG Perak