MANJUNG – Polis menahan 70 individu termasuk warga asing di sebuah pusat hiburan di Taman Sentosa 2, Sitiawan, dekat sini, pada Jumaat.
Serbuan oleh Polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung bersama pihak Polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman itu dilakukan pada jam 3 pagi.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abdul Rahman berkata, melalui Op Pusat Hiburan itu, pihak polis mendapati 38 lelaki serta 16 perempuan positif dadah, dan kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Hasil pemeriksaan pihak polis di premis itu juga telah berjaya menahan 13 lelaki tempatan bersama dua lelaki warga Vietnam.
“Turut dirampas satu peket plastik lutsinar berisi daun-daun kering disyaki dadah jenis cannabis, dua peket plastik lutsinar setiap satu peket berisi tiga pil ecstasy, dan dua aluminium foil pil Erimin 5 dengan setiap setiap satu keping mengandungi 10 biji Erimin 5.
“Polis juga merampas satu peket plastik lutsinar berisi satu tiub straw yang mengandungi bahan disyaki dadah jenis ketamine serta peket plastik lutsinar berisi dua pil ecstasy,” katanya dalam satu kenyataan, pada Ahad.
Jelas beliau, justeru kes berkenaan di siasat di bawah Seksyen 39a(1), Seksyen 12(2) dan Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952.
Menurut Hasbullah, susulan itu pihak polis telah menyerbu sebuah premis berasingan di taman sama dan berjaya merampas satu beg silat yang mengandungi pelbagai jenis dadah bernilai RM91,125.
Kata beliau, antara yang dirampas adalah 31 peket plastik di syaki mengandungi dadah jenis dadah jenis methylenedioxymethamphetamine (MDMA) dengan anggaran berat 545 gram, serta satu keping aluminium foil mengandungi (5) biji pil erimin 5 seberat 1.3 gram.
Hasbullah memberitahu, pihaknya turut merampas sebuah kereta jenis Honda Civic bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Kesemua tangkapan telah di bawa ke Mahkamah Majistret Seri Manjung dan permohonan reman dibenarkan selama tiga hingga tujuh hari.
“Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan dengan aktivti pengedaran dadah atau penyalahgunaan dadah boleh salurkan maklumat kepada pihak polis.
“Mereka boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Manjung di talian 05-688 6222 atau hotline Whatsapp 017-682 8005,” tambah beliau. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
55 cubaan seludup dadah ke pusat tahanan guna dron ditumpaskan