PULAU Pangkor merupakan antara 12 ikon dan destinasi pelancongan di Negeri Perak yang cukup dikenali pelancong dari dalam mahupun luar negara.
Berkeluasan lebih daripada 2,000 hektar, pulau yang terletak di Selat Melaka dalam Daerah Manjung itu menumpukan kepada sektor ekopelancongan yang mana ia kaya dengan keunikan flora dan fauna tersendiri.
Pengerusi Persatuan Pembangunan Hotel dan Resort Pulau Pangkor yang juga anak jati pulau berkenaan, Mohd Zamzuri Suid berkata, infrastruktur pulau itu mula dinaik taraf sejak tahun 2009 dan diteruskan sehingga kini demi pembembangunan pelancongan di situ.
Menurutnya, melalui Pelan Perak Sejahtera 2030, kerjasama baik antara Kerajaan Negeri Perak melalui agensi-agensi dengan persatuannya itu memberi impak positif bukan sahaja kepada operator pelancongan, malah tempiasnya turut dirasai komuniti setempat.
“Di bawah pelan berkenaan, Tourism Perak, serta Sekretariat Pulau Bebas Cukai (PBC) Pangkor, dan Majlis Perbandaran Manjung (MPM) membantu meningkatkan promosi ke atas Pulau Pangkor kepada pelancong domestik dan antarabangsa.
“Kehadiran pelancong ke Pulau Pangkor bukan sahaja membantu industri pelancongan seperti sektor perhotelan, malah ia turut merancakkan ekonomi setempat,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Ujar Mohd Zamzuri, selain promosi, kerajaan negeri juga ada menggerakkan inisiatif bantuan sekali bayar sebanyak RM2,000 kepada lebih 50 ahlinya yang terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.
Tahun Melawat Perak 2024
Selain itu, Mohd Zamzuri memaklumkan, pihaknya menyambut baik usaha kerajaan negeri dalam melalui kempen pelancongan Tahun Melawat Perak 2024.
Kata beliau, sejak dilancarkan pada hujung Disember tahun lalu, Pulau Pangkor menerima ramai kedatangan pelancong sehingga tempahan bilik hotel mencapai sekitar kadar 90 peratus terutama pada musim cuti sekolah.
“Setiap minggu memang kami merasakan impak positif yang mana kehadiran ramai pelancong ke Pulau Pangkor, terutama pelancong domestik.
“Kedudukan Pulau Pangkor adalah strategik yang mana ia berada di tengah-tengah kawasan pantai barat. Tidak hairan, ia sering menjadi lokasi pelancongan pilihan warga Selangor dan Kuala Lumpur,” ujar Mohd Zamzuri.
Tambah beliau, pelbagai acara yang dijadual akan berlangsung di Pulau Pangkor termasuk ‘Pangkor Sea Challenge’ dan sebagainya.
Di samping itu Mohd Zamzuri berkata, Pelan Perak Sejahtera 2030 yang dicetuskan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dilihat tidak mengesampingkan pembangunan sektor pelancongan sebagaimana yang digariskan di bawah ‘flagship’ Ekonomi Pengalaman.
Namun, beliau berharap, pelan pembangunan yang bersifat dinamik itu dapat memberi nilai tambah bukan sahaja kepada pelancongan malah akan dirasai penduduk di Pulau Pangkor.
Selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk menjadikan Perak sebagai Hab Koridor Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Negara, Mohd Zamzuri berharap sebuah pusat TVET berkenaan perhotelan dan kulinari dapat dibangunkan di Pulau Pangkor.
“Saya mahu anak-anak Pulau Pangkor dapat menjadi tenaga mahir dengan memiliki sekurang-kurangnya sijil diploma atau kemahiran dalam bidang perhotelan dan kulinari.
“Saya juga berharap dengan anak jati Pulau Pangkor Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang telah dilantik sebagai Menteri Pendidikan Tinggi, bersama-sama Kerajaan Perak dapat merealisasikan impian ini,” ujar beliau.
Sebelum ini Saarani dilaporkan berkata, Kerajaan Negeri Perak akan memastikan tiada mana-mana kumpulan rakyat yang terpinggir daripada program pembangunan di bawah Pelan Perak Sejahtera 2030.
Beliau menjelaskan, pelan itu bersifat dinamik yang mana penyesuaian dan penambahbaikan boleh dilakukan bagi memenuhi keperluan perancangan atau tuntutan mengikut perkembangan semasa. -MG Perak
Artikel Berkaitan:
Pelan Perak Sejahtera 2030 boleh berjaya bersama gagasan Malaysia Madani