Pelan Perak Sejahtera 2030 boleh berjaya bersama gagasan Malaysia Madani

IPOH – Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, menzahirkan keyakinan Pelan Perak Sejahtera 2030 mampu dijayakan bersama dengan gagasan Malaysia Madani yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Saarani yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak dalam ucapan penggulungannya sempena Konvensyen Kerajaan Perpaduan Peringkat Negeri Perak berkata, perkara itu mampu dicapai melalui sinergi yang baik di antara Kerajaan Negeri Perak dengan Kerajaan Persekutuan.

“Saya yakin, dengan sinergi yang baik antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan, pelan ini akan dapat sama-sama kita jayakan sederap dengan gagasan Malaysia Madani yang diilhamkan Perdana Menteri.

“Sudah tentu, tidak semua yang kita rancang dapat dilihat hasilnya dalam sekelip mata, tetapi inilah bukti keazaman dan kesungguhan kita untuk mencipta masa hadapan yang lebih cerah untuk negeri dan negara,” katanya.

Saarani berkata, pihaknya amat menghargai inisiatif jawatankuasa penganjur yang menjadikan Pelan Perak Sejahtera 2030 sebagai antara wacana penting yang dikupas serta dibahaskan dalam Konvensyen Kerajaan Perpaduan Peringkat Negeri Perak.

Ujar beliau, ini kerana pelan berkenaan merangkumkan usaha dan ikhtiar Kerajaan Negeri Perak untuk mencipta kecerahan masa depan bagi orang muda.

“Pelan ini menanggapi banyak isu dan perkara yang menjadi kebimbangan dan keresahan anak muda antaranya isu pengangguran, akses pendidikan, perumahan serta kemudahan akses kesihatan.

“Perkara ini diulas dengan baik oleh saudara Ahmad Saidi Mohamad Daud (BN) dan Dr Fakhruldin Mohd Hashim (PH) dalam sesi forum kedua pagi tadi.

“Saya senada dengan pandangan kedua-duanya bahawa pelan ini bukan sahaja memerlukan sinergi yang baik di peringkat kerajaan, tetapi juga komitmen kita semua sebagai pendukung kerajaan,” katanya.

Saarani turut menzahirkan persetujuan beliau dengan perbahasan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Behrang, Salina Samsudin bahawa Perak amat bertuah kerana diwakili Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, tiga menteri dan empat timbalan menteri.

Ujarnya, beliau amat yakin, sinergi yang terjalin dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat negeri dan persekutuan akan mengakrabkan lagi jalinan hubungan Kerajaan Perpaduan dengan rakyat.

“Bak kata saudara Neow Choo Seong (BN) dalam perbahasannya, segala perancangan yang digariskan mesti disandarkan kepada komitmen kita untuk mendahulukan kepentingan rakyat dan negara.

“Kita telah buktikan bahawa gagasan Malaysia Madani dan Perak Sejahtera 2030 bukan sekadar mantera politik, tetapi ia menggariskan dengan tuntas komitmen kita kepada rakyat, bahawa kerajaan ini benar-benar mahu mengangkat perubahan, menjadikan Malaysia negara yang lebih baik, menjadikan Perak negeri yang lebih baik,” katanya.

Saarani berkata, rakyat kini sudah jemu dengan ‘politiking’ yang keterlaluan selain berasa muak dengan krisis demi krisis yang menghalang negeri dan negara bergerak maju ke hadapan.

“Kita perlukan tonjolkan komitmen Kerajaan Perpaduan untuk memimpin kestabilan dan memaknakan kebersamaan,” katanya. -MG Perak

Artikel Berkaitan:

Perak Sejahtera 2030: MB Perak zahir penghargaan peranan media

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI