Naik taraf Hospital Kuala Kangsar siap 2026 – Exco

IPOH – Kerja menaik taraf Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Kuala Kangsar yang bermula 16 Ogos tahun lalu dijangka siap sepenuhnya Februari 2026 dengan peruntukan lebih RM20 juta.

Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Perak, A Sivanesan berkata, projek naik taraf berkenaan mendapat keprihatinan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

“Projek ini merangkumi pembinaan keseluruhan komponen dan keperluan Jabatan Kecemasan dan Trauma bersama penambahan peralatan perubatan dan bukan perubatan keperluan jabatan tersebut.

“Pelaksanan projek ini mampu menyelesaikan isu kesesakan di jabatan tersebut selain meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada rakyat Kuala Kangsar dan penduduk sekitarannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Azizi Mohamed Ridzuwan (PN-Lubok Merbau) dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini, pada Rabu.

Menurut Sivanesan, Hospital Kuala Kangsar telah berjaya melaksanakan perluasan bagi enam perkhidmatan kepakaran sejak 2017 melibatkan disiplin kepakaran perubatan dalaman, pediatrik, perubatan kecemasan, radiologi, psikiatri dan rehabilitasi geriatrik.

Ujar beliau, perancangan perluasan bagi lain-lain bidang kepakaran akan terus dirancang dan dilaksanakan secara berfasa mengikut ketersediaan sumber semasa di bawah kluster ini.

“Semasa lawatan baginda ke Kompleks Wanita, Kanak-kanak dan Kardiologi Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) pada 6 Februari lalu telah menitahkan untuk menyediakan Pakar Perubatan Dalaman yang terdiri daripada perkhidmatan Kepakaran Perubatan Dalaman (Internal Medicine) di Hospital Kuala Kangsar.

“Perkara ini dalam tindakan Bahagian Perkembangan Perubatan dan Bahagian Sumber Manusia Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungkai itu turut memaklumkan buat masa ini terdapat 431 kakitangan
bertugas di Hospital Kuala Kangsar termasuk 26 kakitangan kontrak manakala peratus pengisian perjawatan hakiki adalah 93 peratus.

“Hospital ini sentiasa berusaha bagi meningkatkan jumlah pengisian perjawatan dari semasa ke semasa bagi memastikan
penyampaian perkhidmatan Kesihatan yang menyeluruh kepada masyarakat setempat,” katanya. -MG Perak

Artikel Berkaitan:

Jabatan Kecemasan dan Trauma HRPB terima 54 katil tambahan

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI