Jabatan Kecemasan dan Trauma HRPB terima 54 katil tambahan

IPOH – Sebanyak 54 katil tambahan telah ditempatkan di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, sebagai usaha mengatasi masalah kesesakan di hospital berkenaan.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia, Integrasi dan Hal Ehwal Masyarakat India Perak, A Sivanesan berkata, pembekalan katil itu adalah separuh daripada RM1 juta peruntukan Kerajaan Persekutuan.

“Kelulusan waran peruntukan berjumlah RM500,000 oleh Kementerian Kewangan telah diterima pada 26 Oktober lalu. Proses perolehan telah dijalankan secara sebut harga.

“Semua katil yang dibeli telah sampai dan siap dipasang pada 29 November dan juga telah menjalani proses ‘Testing and Commissioning’ pada hari yang sama dan telah diagihkan ke wad-wad,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Goh See Hua (PH-Pasir Pinji) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, pada Khamis.

Tambah, Sivanesan (PH-Sungkai), peruntukan selebihnya RM500,000 telah diperuntukkan bagi kerja menaik taraf ruangan klinikal, triage, dan dekontaminasi di Jabatan Kecemasan dan Trauma.

Katanya, bagaimanapun selepas mengambil kira keperluan peruntukan dan cuaca yang tidak menentu, pengurusan HRPB mengambil keputusan untuk melaksanakan projek penambahan bekalan katil baru sahaja.

“Bagi projek menaik taraf Jabatan Kecemasan dan Trauma, HRPB telah melaksanakan kajian pasaran pada 3 Oktober lalu dengan mendapatkan pandangan awal daripada sekurang-kurangnya enam syarikat kontraktor G-2 yang kompeten.

“Walau bagaimanapun, kesemua syarikat kontraktor memaklumkan projek tersebut tidak mampu untuk disiapkan dalam tempoh hingga dua bulan kerana melibatkan kerja-kerja penyelenggaraan elektrik dan gas perubatan yang memerlukan kemahiran yang spesifik,” katanya lagi. -MG Perak

Artikel Berkaitan:

Perak kutip lebih RM2 juta denda kesalahan merokok

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI