TANJUNG MALIM – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan World of Robotics (WoR) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dalam usaha memajukan pendidikan robotik.
Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata, pemeteraian MoU berkenaan mampu memperkukuhkan kerjasama antara universiti dan industri dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP), penyelidikan, perundingan, pengurusan acara, dan perkhidmatan kepada masyarakat.
“Ia juga membabitkan kerjasama profesional melalui ceramah, bengkel, kursus pendek, penilaian produk, pemeliharaan teknologi untuk pendidikan dan penyelidikan, demonstrasi eksklusif atau ujian produk baru, serta pakej promosi istimewa jenama WOR kepada kakitangan dan pelajar UPSI.
“Selain itu kedua-dua pihak dapat membina perkongsian strategik melalui pembangunan pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) robotik untuk pendidikan dan penyelidikan di UPSI,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau lagi, MoU berkenaan juga merupakan langkah penting dalam memperkukuhkan hubungan antara UPSI dan WoR yang memberi faedah kepada kedua-dua belah pihak selain memberi kesan positif dalam mencapai matlamat bersama.
“UPSI adalah antara rakan yang terbaik buat WoR kerana 80 peratus alumni kami adalah guru sekolah menengah, pembentuk generasi baharu Malaysia yang kalis masa hadapan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan WoR, Lee Yew Kein berkata, melalui MoU yang ditandatangani bersama UPSI ia dapat meningkatkan kerjasama yang mencerminkan komitmen untuk mencipta nilai tambah yang berterusan dan memajukan inovasi dalam bidang pendidikan dan robotik.
“MoU ini juga dapat mengadakan pertukaran sumber daya, akses kepada penyelidikan dan maklumat, serta penubuhan jawatankuasa bersama yang akan bertanggungjawab untuk mengawasi pelaksanaan dan menilai kemajuan kerjasama.
“WoR dan UPSI berharap dapat membentuk persekitaran kerjasama yang saling menguntungkan dan mempercepat pencapaian matlamat strategik masing-masing organisasi,” katanya.
Terdahulu MoU berkenaan dimeterai antara Md Amin bersama Yew Kein dalam satu majlis yang diadakan di Perpustakaan Digital UPSI, Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City.
Hadir sama Timbalan Naib Canselor ( Akademik dan Antarabangsa), Prof Dr Abdul Rahim Razalli; Pendaftar, Helmi Zaifura Abdul Rahman. -MG Perak