PETALING JAYA- Seorang murid perempuan, Siti Dhia Batrisyia Mohd. Chairil, 12, dilaporkan hilang sejak 12 Mac lalu selepas meninggalkan rumahnya di Pudu pada waktu petang.
Dia dikatakan meninggalkan rumah keluarganya selepas dimarahi ibunya.
Ibu kanak-kanak hilang itu, Syarifah Rosfazila Syed Muhammad Fazili, 41, berkata, kali terakhir dia bersama anaknya di rumah mereka kira-kira pukul 4 petang sebelum dia hilang.
Dakwanya, perselisihan faham itu berlaku apabila dia menegur anak pertama dari dua beradik itu kerana tidak hadir ke sekolah pada hari kejadian.
“Waktu petang hari itu (Selasa) Dhia sudah balik ke rumah, kemudian saya terus tanya kenapa pagi dia tak pergi ke sekolah selepas cikgu WhatsApp tanya kenapa Dhia tidak hadir.
“Dhia kemudian menjawab dia keluar (tidak hadir sekolah) kerana beli barang untuk buat kejutan pada saya sebelum saya memarahi dan menegur perbuatannya yang salah. Saya turut bertanya apa rasionalnya dia berbuat demikian pada waktu persekolahan.
“Namun, beberapa minit selepas teguran itu saya keluar untuk membeli barang dapur dan selepas pulang saya terkejut Dhia sudah tiada,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Syarifah berkata, dia terlalu risau kerana anak perempuan itu tidak pulang ke rumah selepas waktu berbuka puasa dan sehingga hari ini.
“Sejak tidak pulang seharian saya mula cari dia di rumah kawan-kawan namun mereka juga tidak pasti keberadaan Dhia.
“Sebelum ini, Dhia tak pernah keluar jauh lama-lama dan tak pernah tak balik rumah, saya memang tengok dan jaga anak saya,” katanya.
Lebih membimbangkan hati ibu ini apabila salah seorang rakan kenalan Dhia mendakwa anaknya mengikut seorang lelaki yang dipercayai dikenali melalui media sosial ke Ampang.
“Ada kawan-kawan anak maklumkan Dhia pernah bercerita tentang seorang individu tetapi kesemua rakannya tidak pernah berjumpanya,” tambah Syarifah.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya mengesahkan polis menerima satu laporan berkaitan kehilangan kanak-kanak itu pagi semalam.
“Ya saya boleh sahkan polis ada menerima laporan polis pada 14 Mac lalu mengenai kehilangan murid sekolah Kebangsaan Perempuan Pudu 1.
“Kes telah diklasifikasikan sebagai Orang Hilang (OH) dan usaha mengesan kanak-kanak itu telah dipergiatkan oleh polis,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Gambar beserta maklumat kanak-kanak ini tular di media sosial.-MalaysiaGazette