TANJUNG MALIM – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerima kunjungan kerjasama strategik dari delegasi Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), dekat sini, Rabu lalu.
UPSI dalam satu kenyataan memaklumkan, usaha itu bagi meneroka kolaborasi antara kedua-dua institusi dalam bidang pendidikan serta pembangunan sumber manusia.
Katanya, delegasi INTAN yang diketuai pengarahnya, Datuk Dr. Mohd Zabri Yusof itu turut mengunjungi beberapa fasiliti terdapat di Kampus Sultan Abdul Jalil Shah (KSAJS).
Tambahnya ia termasuk Muzium Pendidikan Nasional (MPN), Perpustakaan Tuanku Bainun (PTB), serta bilik-bilik kuliah yang dilengkapi dengan teknologi terkini.
Menurut kenyataan itu, delegasi INTAN diberi penerangan berkenaan program-program akademik yang ditawarkan oleh universiti, serta inisiatif pembangunan profesional untuk kakitangan akademik dan pentadbiran.
“UPSI yang memiliki pelbagai kemudahan sukan seperti UPSI Sport City dan UPSI Adventure Park di Kampus Sultan Azlan Shah ( KSAS), selain bangunan pengajian dan penyelidikan.
“Ia menjadi tumpuan pelbagai pihak untuk menjalin kerjasama (dengan universiti terbabit) sama ada dari dalam mahupun luar negara,” kata kenyataan itu, pada Sabtu.
Dalam pada itu, kenyataan sama memaklumkan, Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md. Amin Md Taff berkata, kehadiran delegasi INTAN itu memberi peluang UPSI untuk menunjukkan keberkesanan fasiliti serta program yang ditawarkan kepada institusi pentadbiran awam.
Menurutnya, beliau juga menyatakan kesediaan untuk menjalin kerjasama erat antara dengan INTAN dalam usaha meningkatkan kecekapan dan kualiti dalam bidang pentadbiran awam di negara ini.
“Kerjasama antara INTAN dan UPSI dianggap sebagai inisiatif penting dalam memperkukuhkan kapasiti dan kecekapan dalam pengurusan awam di negara ini.
“Beliau berharap kunjungan itu akan membawa kepada perkongsian pengetahuan dan pengalaman yang lebih berkesan di antara kedua-dua institusi yang berprestij ini,” kata kenyataan itu lagi. -MG Perak
Artikel Berkaitan:
[…] UPSI terima kunjungan INTAN […]