IPOH – Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) akan bekerjasama dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) susulan kejadian seekor harimau dahan yang mati dipercayai dilanggar kenderaan di di Kilometer 253.3 WCE arah Trong menghala ke Beruas, di sini, semalam.
Pengurus Besar Komunikasi Strategik dan Libat Urus WCE, Syed Mohammed Idid Syed Ahmad Idid berkata, kerjasama tersebut melibatkan pemantauan dan pengawasan secara berterusan bagi memastikan insiden melibatkan haiwan tidak berulang pada masa hadapan.
Ujar beliau, pihaknya telah mengambil langkah keselamatan yang tinggi serta mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan terutamanya dari segi ketinggian pagar di sepanjang lebuh raya tersebut.
“WCE telah mengambil sebanyak mungkin langkah untuk mencegah pencerobohan (haiwan) termasuk membina terowong untuk laluan haiwan di lebuh raya berkenaan.
“Dari segi keselamatan memang kami memasang pagar mengikut standard Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan sistem global lebuh raya.
“Bagaimanapun, haiwan mempunyai naluri dan jika terdapat perubahan baharu dalam ekosistem ia akan mengambil masa sehingga merasa selamat untuk melalui laluan tersebut.
“Kami juga turut berduka di atas kejadian yang menimpa harimau dahan itu. Justeru, kami akan terus memantau dan bekerjasama dengan PERHILITAN dari semasa ke semasa supaya kejadian sama tidak berulang pada masa akan datang,” katanya ketika dihubungi MG Perak.
Terdahulu, PERHILITAN Perak mengesahkan berhubung penemuan seekor harimau dahan yang mati dipercayai akibat dilanggar kenderaan kira-kira dua hari sebelum ditemukan di tepi penghadang besi lebuh raya itu, semalam.
Pengarahnya, Yusoff Shariff ketika dihubungi berkata, bangkai harimau jantan itu ditemukan sekitar jam 3 petang selepas pihaknya dimaklumkan berhubung kejadian tersebut.
Menurutnya, bangkai haiwan yang ditemukan dalam keadaan kembung dan busuk itu dipercayai berusia lima tahun dengan berat 20 kilogram. – MG Perak
Artikel Berkaitan: