Perak mahu model ekonomi Lata Kinjang diperluas ke semua kampung Orang Asli

TAPAH – Kerajaan Negeri Perak mahu model pembangunan ekonomi di Kampung Orang Asli Lata Kinjang, Chenderiang, dekat sini dapat menjadi contoh kepada perkampungan Orang Asli lain di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pembangunan Taman Eko Rimba Lata Kinjang yang diurus melalui entiti Koperasi Orang Asli Lata Kinjang Berhad (KOALKB) disifatkan telah berjaya membawa keluar masyarakat setempat daripada kelompok garis kemiskinan.

Katanya, lebih 150,000 pelancong dari dalam dan luar negara direkodkan telah berkunjung ke taman eko rimba itu, di samping berjaya menghasilkan pendapatan sebanyak RM1.4 juta, dalam tempoh Julai 2021 hingga Januari tahun ini.

kerajaan negeri perak modal pembangunan kampung orang asli lata kinjang saarani
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad melawat Taman Eko Rimba Lata Kinjang ketika hadir pada majlis perasmian Sengoi Hik Discovery Centre di Tapah. Foto ABDULLAH YUSOF, 21 MAC 2024.

“Apa yang telah dilalui masyarakat di sini adalah penglibatan dalam sektor koperasi dan kemahiran yang dilatih sehingga mereka boleh menguruskan tempat pelancongan ini sendiri.

“Ia memberi cabaran kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Negeri untuk turut sama membangunkan kawasan perkampungan Orang Asli yang lain seperti RPS Pos Kemar, dan RPS Dala di Gerik, serta Kampung Air Bah di Lenggong.

“Kita beri keyakinan kepada masyarakat Orang Asli bahawa dalam bidang pembangunan dan perniagaan ini, jika masyarakat lain boleh, sudah pasti mereka juga boleh membangunkannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Sengoi Hik Discovery Centre di Taman Eko-Rimba Lata Kinjang, Chenderiang, dekat sini, pada Khamis.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abd Rahim; Ketua Pengarah JAKOA, Datuk Sapiah Mohd Nor serta Ketua Pegawai Operasi Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Hasri A. Hasan.

kerajaan negeri perak modal pembangunan kampung orang asli lata kinjang saarani eko rimba
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad melawat galeri Sengoi Hik Discovery Centre selepas merasmikannya di Taman Eko Rimba Lata Kinjang, Tapah. Foto ABDULLAH YUSOF, 21 MAC 2024.

Sengoi Hik Discovery Centre, tarikan terbaru di pusat rekreasi itu merupakan galeri yang menempatkan bahan-bahan pameran berkenaan budaya, tradisi dan kehidupan masyarakat Orang Asli setempat dari suku Semai.

Dalam pada itu, Saarani berkata, Taman Eko Rimba Lata Kinjang telah menerima suntikan pelaburan secara berfasa berjumlah RM2.7 juta daripada NCIA bagi kerja-kerja menaik taraf infrastruktur sejak 2021.

Kata beliau, jumlah dana itu turut melibatkan program peningkatan kemahiran dan keusahawanan serta suntikan dana perniagaan untuk KOALKB.

kerajaan negeri perak modal pembangunan kampung orang asli lata kinjang saarani
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berucap pada majlis perasmian galeri Sengoi Hik Discovery Centre di Taman Eko Rimba Lata Kinjang, Tapah. Foto ABDULLAH YUSOF, 21 MAC 2024.

“Mudah-mudahan usaha dan kerjasama kerajaan negeri dan Persekutuan dalam menjayakan projek ini akan mampu membantu memacu Perak mencapai matlamatnya.

“Iaitu demi memakmurkan negeri dan kesejahteraan rakyat selari dengan flagship ke-18 Perak Sejahtera 2030 iaitu Santuni Orang Asli,” ujar Saarani lagi.

Pada masa sama, Ketua Eksekutif NCIA, Mohamad Haris Kader Sultan melalui teks yang dibacakan Hasri berkata, penaiktarafan infrastruktur di Taman Eko Rimba Lata Kinjang mengalami tiga fasa.

Katanya, pembangunan yang kini di fasa ketiga melibatkan penyediaan lima ‘tube camp’, Sengoi Hik Discovery Centre dan laman sesawang rasmi, yang mana kesemuanya dijangka siap sepenuhnya pada tahun ini.

“Pembangunan Taman Eko Rimba Lata Kinjang telah membantu mewujudkan 24 peluang pekerjaan menerusi penubuhan KOALKB. Koperasi itu kini juga berdiri sendiri tanpa bantuan kewangan daripada mana-mana pihak.

“NCIA yakin, pihak koperasi mampu menguruskan Taman Eko Rimba Lata Kinjang secara mampan dan terus berkembang pada masa depan,” ujarnya. -MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI