IPOH – Tiket perjalanan sempena Hari Raya Aidilfitri dari sini ke negeri-negeri di Pantai Timur dan Selatan Semenanjung laris dan telah habis dijual sejak minggu kedua Ramadan.
Penyelia Operasi Terminal Meru Raya, Muhammad Nur Syamin Mohd Saleh berkata, tiket berkenaan membabitkan tarikh perjalanan antara 2 hingga 13 April.
Menurutnya, kesemua tiket perjalanan berkenaan semakin laris dijual yang mana kebanyakannya pembelian melalui atas talian.
“Kebanyakkan orang ramai telah menempah tiket perjalanan dua hala iaitu perjalan pergi dan pulang sekaligus. Ini mungkin mereka bimbang sekiranya tiket perjalanan untuk pulang dari beraya telah habis.
“Antara tiket destinasi yang habis dijual melibatkan perjalanan ke Kota Bharu di Kelantan, Kuala Terengganu di Terengganu, Pekan di Pahang dan ke Johor Bahru di Johor.
“Walau bagaimanapun, tiket perjalanan ke arah utara iaitu melibatkan perjalanan ke Pulau Pinang, Kedah dan Perlis masih boleh didapati,” katanya ketika ditemui MG Perak, di Terminal Meru Raya, dekat sini, pada Isnin.
Jelas Muhammad Nur Syamin, kadar tambang perjalanan ke negeri-negeri di Pantai Timur berada dalam anggaran RM35 dan ke atas sementara ke Johor mencecah sehingga RM90 dan RM100.
Kata beliau, trend peningkatan penjualan tiket pada tahun ini juga dilihat meningkat 20 ke 30 peratus berbanding pada tahun lalu.
Ditanya tentang inisiatif bas tambahan, Muhammad Nur Syamin memberitahu ia bergantung kepada permintaan penumpang dan ke atas satu-satu destinasi.
“Setakat ini kami masih belum menetapkan bilangan bas tambahan, namun kita yakin ia akan berlaku pada hari yang hampir dengan Aidilfitri nanti.
“Kebiasaannya, selepas kami mendapati ada permintaan atau penjualan tiket yang tinggi ke suatu destinasi, kita akan meminta pihak operator bas untuk menyediakan lima ke 10 bas tambahan,” ujarnya.
Tambah beliau, terdapat 38 syarikat bas yang beroperasi di Terminal Meru Raya dengan tiga daripadanya menyediakan perkhidmatan ke Pantai Timur serta lebih daripada enam syarikat menyediakan perkhidmatan ke selatan termasuk Singapura.
Media sebelum ini melaporkan tarikh bagi melihat anak bulan Syawal tahun ini ditetapkan pada petang Selasa, atau 9 April ini bersamaan 29 Ramadan 1445 Hijrah.
Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia dilaporkan berkata, Majlis Raja-Raja telah mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh Hari Raya Puasa adalah berdasarkan rukyah dan hisab. -MG Perak
Artikel Berkaitan: