SIMPANG PULAI – Kerjasama pelbagai pihak ditagih dalam usaha memastikan pelancong yang berkunjung ke Perak kekal menginap beberapa hari di negeri ini.
Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee berkata, ini kerana terdapat pelancong yang menjadikan Perak sebagai negeri persinggahan sementara sebelum meneruskan perjalanan ke utara mahupun selatan tanah air.
Justeru itu, Sze Yee berkata, cabaran dalam memastikan pelancong mengambil keputusan menginap di Perak perlu diatasi secara tuntas dengan kerjasama pelbagai pihak.
“Perak merupakan antara negeri terkuat dalam sektor pelancongan domestik tetapi kita masih perlu meningkatkannya kedatangan pelancong yang menginap di negeri ini.
“Negeri ini juga merupakan laluan bagi mereka yang dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur, jadi kita mahu pastikan mereka datang ke Perak lebih sehari,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan di salah sebuah pusat tarikan pelancongan terbaharu di Perak, Hobbitoon di Simpang Pulai dekat sini, pada Selasa.
Turut hadir Timbalan Pengerusi Tourism Malaysia, Datuk Yeoh Soon Hin dan Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Perak, Nurmalis Musa.
Sementara itu, Sze Yee berkata, seramai 2.3 juta pelancong direkodkan berkunjung ke Perak bagi tempoh Disember 2023 hingga Februari lalu melalui pelancongan gastronomi, budaya dan sejarah terutamanya di Ipoh dan Taiping.
Beliau berkata, sektor pelancongan di Perak juga sedang bergerak ke tahap yang lebih tinggi untuk seiring pelancongan dalam negara yang mempromosikan tempat menarik kepada seluruh dunia.
Ujar beliau, Hobbitoon Village merupakan salah satu pusat baharu pelancongan di Perak yang terletak di tengah-tengah antara laluan Simpang Pulai ke Cameron Highlands, Pahang.
“Ini sejajar dengan pergerakan kita untuk menghubungkan Pahang dengan Perak, di mana kedua negeri ini telah menandatangani satu Memorandum Persefahaman (MoU) untuk merapatkan lagi sektor pelancongan kedua-dua negeri melalui hubungan secara terus.
“Ipoh terkenal sebagai tempat pelancongan makanan dan pada masa yang sama di Cameron Highlands, terkenal dengan agro pelancongan pertanian.
“Ini merupakan salah satu usaha untuk membangunkan Perak dan Pahang supaya kita dapat bergerak bersama memajukan sektor pelancongan tanpa mengasingkan kedua-dua negeri ini,” katanya. -MG Perak
Artikel Berkaitan:
MGPerak: ‘Pepe Le Pew’ Tarikan Baharu Zoo Taiping & Night Safari Sempena TMP 2024