IPOH – Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim berkenaan berangkat ke Majlis Makan Malam Amal Kelab Bakti Gunung Keledang (KBGK) di Hotel Casuarina @ Meru, di sini, malam tadi.
Turut berangkat, Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Sultan Idris Shah; Raja Di Hilir, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah serta Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri, Khairudin Abu Hanipah yang mewakili Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menyambut keberangkatan tiba tetamu diraja sekitar jam 8.15 malam.
Turut sama mengiringi, Speaker DUN Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid, serta Presiden KBGK Muhammad Hamzah Md Hamdan.
Pada majlis yang dihadiri hampir 700 orang itu, KBGK berjaya mengutip sumbangan lebih RM500,000 hasil pembelian atau tempahan sebanyak 67 meja.
Di samping itu, majlis dimeriahkan dengan persembahan daripada penyanyi terkenal tanah air Hael Husaini serta Dayang Nurfaizah.
Antara lagu yang disampaikan Hael termasuk Jampi, Hajat, Can’t take my eyes off you, sementara Dayang mendendangkan lagu Di pintu syurga, You to me are everything, Umpan jinak di air tenang, serta persembahan duet melalui lagu Haram.
Menurut Pengerusi Majlis Makan Malam Amal KBGK, Norali Nordin, sebanyak RM200,000 disumbangkan kepada 11 badan bukan kerajaan (NGO), pertubuhan kebajikan, rumah anak yatim serta Maahad Ad-Deeniah Meru.
Kata beliau, selepas ini KBGK memberi tumpuan kepada program-program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang tertumpu ke arah usaha pembangunan sektor pendidikan.
“Kami dalam perancangan untuk menaik taraf sebuah sekolah masyarakat Orang Asli dan kolej komuniti di Sungai Siput.
“Di samping itu, KBGK juga akan melaksanakan kursus-kursus jangka pendek seperti kursus asas perniagaan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis.
Majlis makan malam amal berkenaan diadakan bertujuan mengumpul dana kelab bagi pelaksanaan program dan aktiviti sepanjang tahun 2024 dan 2025 termasuklah pemberian sumbangan kepada badan-badan kebajikan. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Dayang Nurfaizah, Hael Husaini akan tampil majlis makan malam amal KBGK