LUMUT – Sebuah premis yang menjalankan kegiatan pusat sembelihan ayam dan itik di Medan Acheh, Sitiawan dekat sini diarahkan ditutup serta-merta selepas didapati beroperasi tanpa kebenaran daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).
Majlis Perbandaran Manjung (MPM) dalam satu kenyataan memaklumkan, tindakan itu diambil susulan pemeriksaan terhadap premis berkenaan yang dijalankan pada jam 9.30 pagi Isnin.
Katanya, hasil pemeriksaan yang dijalankan Jabatan Pelesenan dan Penguatkuasaan MPM mendapati unggas yang diproses di lorong belakang premis berkenaan telah mendatangkan kacau ganggu awam.
“Sebanyak 42 ekor ayam, empat ekor itik dan tujuh unit sangkar plastik telah disita.
“Semua barangan yang disita dihantar ke Stor Simpanan MPM untuk proses dokumentasi dan tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu hantaran pada laman Facebook, pada Isnin.
Sementara itu, dalam hantaran berasingan MPM memaklumkan, pihaknya menyita barangan penjaja yang diletakkan di lor parkir awam di Pasar Awam Senawi, dekat sini, hari sama.
Ujarnya, sebanyak empat unit bakul sayur dan tiga tong ikan disita dalam operasi yang dijalankan Jabatan Pelesenan dan Penguatkuasaan MPM pada jam 10.30 pagi.
“Melalui tindakan khas yang dijalankan itu, barang sitaan dan peralatan penjaja disita kerana tidak mempunyai kebenaran dari pihak MPM.
“Ia juga kerana diletakkan di kawasan parkir awam hadapan Pasar Awam Senawi hingga mendatangkan kacau ganggu awam,” jelasnya.
Menurut PBT itu, kedua-dua kesalahan berkenaan diambil tindakan mengikut Undang-undang Kecil iaitu Mengkompaun Kesalahan-Kesalahan Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Perak, di Jalan, Parit dan Bangunan 2013. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Video tular: MPM tangkap anjing kejar kanak-kanak nyaris dilanggar kereta