Video tular: MPM tangkap anjing kejar kanak-kanak nyaris dilanggar kereta

LUMUT – Majlis Perbandaran Manjung (MPM) menangkap tiga ekor anjing susulan insiden video tular memaparkan seorang kanak-kanak lelaki nyaris dilanggar kereta akibat dikejar haiwan berkenaan di Jalan Haji Mohamad Ali dekat Sitiawan pada Sabtu.

Jabatan Komunikasi Strategik dan Perhubungan Awam MPM dalam satu kenyataan berkata, tiga ekor anjing termasuk seekor yang mengejar kanak-kanak itu ditangkap pada jam 11 pagi, hari sama.

Menurutnya, berdasarkan semakan, anjing berkenaan mempunyai pemilik serta permit dari MPM.

“Ketiga-tiga haiwan itu ditangkap kerana pelanggaran syarat dan peraturan Undang-undang Kecil.

“Pemilik gagal mengambil langkah-langkah yang munasabah untuk memastikan anjing tersebut tidak menyebabkan kacau ganggu kepada jiran-jirannya, salakan yang tidak berhenti-henti atau selainnya.

“Ia termasuk mengambil langkah-langkah yang munasabah untuk memastikan bahawa anjing itu tidak merayau di luar kawasan premis pemiliknya dan anjing itu berikat tali apabila dibawa keluar daripada premis pemiliknya,” katanya melalui kenyataan, pada Ahad.

Menurut kenyataan sama jelasnya, tindakan itu diambil berpandukan kepada Undang-Undang Kecil Pelesenan Anjing (Majlis Daerah Manjung) 1993.

“Anjing yang mengancam nyawa boleh diambil tindakan pelupusan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar berdasarkan Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772).

“Majlis Perbandaran Manjung akan merujuk Jabatan Perkhidmatan Veterinar untuk tindakan lanjut,” tambahnya.

Terdahulu tular di media sosial, rakaman video berdurasi 20 saat yang memaparkan dua kanak-kanak lelaki melarikan diri dipercayai dikejar seekor anjing liar di di Jalan Haji Mohamad Ali.

Salah seorang daripada mereka kemudian cuba menyeberangi jalan raya berkenaan sebelum terjatuh dan hampir dilanggar atau digilis sebuah kereta Proton Wira yang sedang bergerak. -MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Dikejar anjing, kanak-kanak lelaki nyaris maut digilis kereta

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI