KAMPAR – Majlis Daerah Kampar (MDKpr) menafikan sekeras-kerasnya atas tuduhan mengambil kesempatan menjalankan operasi menangkap dan menyita haiwan penternak.
Yang Dipertuanya, Ahmad Suqairi Alias berkata, pihaknya menegaskan bahawa operasi penangkapan itu dibuat di kawasan Kolej Tunku Abdul Rahman, Bandar Baru Kampar, di sini, pada 23 April lalu.
Menurut beliau, operasi tangkapan haiwan merayau itu diadakan pada jam 12 malam di kawasan kolej tersebut susulan beberapa aduan diterima daripada pengurusan kolej berkaitan lembu dan kerbau yang merayau.
“Pada operasi tersebut, sebanyak dua ekor kerbau telah berjaya ditangkap oleh Bahagian Penguatkuasaan MDKpr.
“Namun tuduhan kepada pihak MDKpr yang mengatakan tangkapan dilakukan di dalam kandang pemilik dan dicuri adalah tidak benar sama sekali,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, pihak MDKpr akan memberi kerjasama sepenuhnya dalam siasatan yang dilaksanakan oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Ahmad Suqairi juga menegaskan pihak MDKpr akan terus melaksanakan tindakan penguatkuasaan terhadap haiwan merayau bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya dan kesejahteraan penduduk Daerah Kampar secara amnya.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Kampar, Superintenden Mohamad Nazri Daud telah mengesahkan menerima laporan dibuat penternak berkenaan pada 24 April lepas.
“Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” jelas beliau. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Penternak lembu, kerbau kecewa, dakwa haiwan dalam kandang disita