KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan (MOT) akan meneruskan Program MyLesen B2 dan B2S bagi pelajar sekolah dengan peruntukan hampir RM30 juta, melibatkan 80,648 peserta pada tahun ini.
Menterinya, Anthony Loke berkata, program itu bertujuan memberi peluang kepada lebih ramai rakyat Malaysia mendapatkan latihan serta pendidikan formal sebelum menggunakan jalan raya.
“Memandangkan penunggang dan pembonceng motosikal menyumbang kira-kira dua pertiga daripada keseluruhan kematian jalan raya, intervensi khusus turut diberikan kepada kumpulan pengguna berkenaan.
“Ini termasuk langkah kerajaan untuk meneruskan Program MyLesen B2 dan B2S bagi pelajar sekolah pada 2026.
“Usaha ini juga disokong menerusi inisiatif penukaran topi keledar kepada topi keledar yang memenuhi piawaian SIRIM, dengan sebanyak 70,000 unit telah diedarkan sejak 2025,” katanya pada ketika sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Ahli Parlimen PH-Labis Pang Hok Liong meminta penjelasan mengenai punca kadar kematian jalan raya masih tinggi walaupun undang-undang telah dipinda beberapa kali dan penguatkuasaan dipertingkatkan, selain sasaran terukur kerajaan untuk mengurangkan kematian menjelang 2030.
Dalam masa sama, katanya, analisis data kemalangan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan penyelidikan serta rekonstruksi kemalangan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) digunakan untuk mengenal pasti punca kematian dan kecederaan serius.
“Dapatan itu menjadi asas kepada langkah bersasar, termasuk penambahbaikan reka bentuk jalan, kawalan kelajuan, pengasingan aliran trafik serta kaedah penguatkuasaan yang bersesuaian mengikut risiko di sesuatu lokasi,” katanya.
Sementara itu, mengulas langkah jangka panjang, Loke berkata, MOT sedang membangunkan Pelan Tindakan Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (PKJRM) 2022-2030 Fasa 2.
“Melalui fasa berkenaan, ukuran keberkesanan akan diperkukuh supaya pencapaian tidak lagi dinilai semata-mata berdasarkan jumlah operasi penguatkuasaan atau saman yang dikeluarkan.
“Sebaliknya, penilaian akan memberi tumpuan kepada hasil sebenar, khususnya pencegahan kemalangan maut dan kecederaan serius, termasuk mengikut negeri, kategori pengguna jalan raya serta lokasi berisiko,” katanya lagi. – MalaysiaGazette


