IPOH – 41 penumpang termasuk pemandu sebuah bas persiaran cedera selepas kenderaan dinaiki mereka terbalik ke dalam longkang di KM264.5 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan, di sini, pagi ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian pada jam 7.28 pagi.
Menurut beliau, sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya telah digerakkan ke lokasi kejadian tiba pada jam 7.42 pagi.
Ujar beliau, setibanya di lokasi kejadian anggota mendapati berlakunya kemalangan melibatkan sebuah bas persiaran dengan sebuah kereta sedan dan kerja-kerja menyelamat terus dijalankan.
“Berdasarkan maklumat awal, bas yang mengandungi 41 orang termasuk pemandu dalam perjalanan dari Kupang, Kedah, menuju ke Ipoh bagi menghadiri majlis keagamaan sebelum terbabas dan terbalik di KM264.5 Lebuhraya Utara Selatan.
“Semua mangsa telah berjaya dikeluarkan dan diselamatkan oleh anggota bomba melibatkan keanggotaan dari BBP Meru Raya dan BBP Kuala Kangsar,” katanya.
Tambah beliau, kesemua mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh menggunakan dua unit EMRS dan bantuan ambulan Kementerian Kesihatan (KKM). -MG Perak
Artikel Berkaitan: