TANJUNG MALIM – Jabatan Perikanan (DOF) Perak menjalankan siasatan terhadap hantaran media sosial tular memaparkan sekumpulan individu melepaskan ribuan anak ikan asing atau larangan di Sungai Hulu Bernam.
Pengarah Perikanan Perak, Mohd Ghazali A Manap berkata, berdasarkan hasil siasatan mendapati kejadian berlaku di Selangor.
“Ia dilakukan di bawah jambatan sempadan (yang menghubungkan antara Negeri Perak dan Selangor). Pelepasan itu didapati dilakukan pada sebelah Selangor,” katanya ringkas ketika dihubungi, pada Isnin.
Sementara itu dalam kenyataan berasingan, Ketua Pengarah DOF, Datuk Adnan Hussain berkata, pihaknya sedang mengenal pasti semua individu dalam video dan gambar tular berkenaan bagi tujuan siasatan.
Kata beliau, pihaknya juga akan mengadakan konsultasi bersama pihak berkaitan terutamanya persatuan berkaitan keagamaan susulan kejadian itu.
Jelas beliau lagi, DOF sebelum ini telah mengadakan hebahan umum tentang kemudaratan kepada ekosistem perikanan oleh spesies ikan asing yang dilepaskan ke kawasan perairan umum.
“Ikan asing yang dilepaskan secara tidak bertanggungjawab di Sungai Hulu Bernam amat mendukacitakan, kerana ia masih kaya dengan ikan asli tempatan.
“Atas kesedaran ini, pihak jabatan akan memantau dan melaksanakan usaha-usha pemerhatian sumber melalui Inventory Perikanan Darat,” katanya.
Tambah Adnan, pelepasan ikan asing ke kawasan perairan umum akan menjejaskan usaha pemuliharaan ikan asli tempatan yang dijalankan semua pihak.
Justeru ujar beliau, pemuliharaan ekosistem sungai terutamanya berkaitan dengan sumber ikan asli adalah tanggungjawab bersama.
“DOF menasihatkan agar semua pihak yang berhasrat untuk melepaskan ikan ke perairan umum untuk mendapatkan nasihat daripada Pejabat Perikanan terdekat
“DOF juga menggalakkan pelepasan ikan tempatan ke perairan umum seperti ikan lampam asli,” katanya lagi.
Terdahulu tular di media sosial hantaran memaparkan sekumpulan individu didakwa melepaskan ribuan anak ikan asing atau larangan ke dalam sungai di Sungai Hulu Bernam.
Kejadian yang didakwa pada asalnya berlaku di Tanjung Malim itu mendapat kritikan umum apabila ada mengatakan ikan yang dilepaskan itu merupakan keli Afrika.
Pelayar media sosial rata-rata melahirkan rasa khuatir ke atas gangguan ekosistem ikan tempatan di sungai berkenaan susulan tindakan tersebut. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Undang pertikaian umum, 10,000 anak ikan keli didakwa dilepaskan ke sungai