JOHOR BAHRU – Tujuh individu yang ditahan awal pagi tadi susulan insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram akan dibawa ke Mahkamah Majistret di sini esok pagi bagi mendapatkan perintah reman.
Perkara itu disahkan sendiri Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar.
Kesemua suspek ditahan kira-kira pukul 6 pagi tadi.
Suspek utama dalam kes itu mati ditembak di lokasi kejadian.
Awal pagi tadi, dua anggota polis maut di Balai Polis Ulu Tiram diserang lelaki bertopeng yang bersenjatakan parang dan merampas dua senjata api daripada anggota polis.
Kumar berkata, dua anggota polis dan suspek yang maut dihantar ke Hospital Sultan Ismail manakala anggota yang mengalami kecederaan dirawat di hospital yang sama.
Kejadian pukul 2.54 pagi apabila seorang lelaki bertopeng dan berpakaian gelap yang bersenjatakan parang menyerang balai polis berkenaan.
Suspek terlebih dahulu menyerang dua anggota polis bertugas dan merampas dua laras senjata.
Dia melepaskan dua das tembakan terhadap seorang anggota yang menyebabkan kecederaan pada bahu serta perut dan seorang lagi anggota ditetak pada belakang leher dan kepala.-MalaysiaGazette
[…] Kes serangan balai polis, tujuh direman esok […]