IPOH – Polis sedang memburu lelaki yang juga suspek dalam kejadian samun menggunakan parang sebagaimana dalam satu video tular di laman sosial baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, pihaknya menerima maklumat berkenaan kejadian itu daripada seorang lelaki, sekitar jam 4.13 pagi Rabu
Katanya, lelaki yang berusia 30 tahun itu membuat laporan berhubung kejadian samun menggunakan parang oleh individu tidak dikenali di sebuah rumah di Jalan Coldstream Buntong, Kampung Baru Buntong, dekat sini pada jam 2.55 pagi, hari sama.
Menurut beliau, berdasarkan pada siasatan awal, suspek yang menggunakan kereta jenis Nissan Almera berwarna putih telah berhenti di hadapan rumah berkenaan sebelum mengejar mangsa bersama sebilah parang.
“Suspek telah mengejar mangsa dan menarik rantai leher emas miliknya yang dianggarkan bernilai RM15,000.
“Hasil semakan melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV), lelaki berkenaan memakai topi dan pelitup muka warna hitam.
“Pihak polis telah menjumpai sebuah kereta yang digunakan oleh suspek yang ditinggalkan di sebuah lorong jalan di kawasan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, pada Jumaat.
Abang Zainal Abidin memberitahu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan insiden itu diminta untuk menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor Josin Amatin di talian 016-2222491 atau di mana-mana balai polis berhampiran
“Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan. Jika disabitkan dengan kesalahan boleh dikenakan dengan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan juga boleh dikenakan denda atau sebat.
“Polis menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan menjaga keselamatan diri serta harta benda agar tidak berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini,” ujarnya lagi.
Terdahulu tular di media sosial, rakaman CCTV yang memaparkan seorang lelaki melakukan samun dengan menggunakan parang terhadap seorang lelaki.
Menerusi video berdurasi 5.35 minit itu, dipaparkan sebuah kereta berhenti di sebuah rumah, sebelum seorang lelaki keluar dengan membawa sebilah parang dan mengejar lelaki di kawasan pekarangan rumah berkenaan.
Selang beberapa saat, video itu memaparkan pemandu terbabit kemudian berlari masuk ke dalam kereta dan beredar dari kawasan berkenaan selepas dikejar sekumpulan individu. -MG Perak
Artikel Berkaitan: