BUKIT MERTAJAM – Sepasang suami isteri merayu sumbangan orang ramai berjumlah RM125,000 bagi menampung kos pemindahan tulang sumsum anak mereka.
Menurut Fong Jia Re, 22, anaknya, Fong Crayson, empat bulan memerlukan pemindahan tulang sumsum susulan menghidap penyakit gabungan kurang daya ketahanan badan (SCID) yang merupakan penyakit genetik jarang jumpa.
Katanya, prosedur itu perlu dilakukan kerana masalah yang dihadapi anaknya sekali gus menyebabkan bayi itu tidak langsung mempunyai antibodi atau daya tahan badan.
“Saya dan isteri, Poh Hui Ni hanya tahu anak menghidap penyakit SCID selepas dia menjalani ujian genetik sebaik dilahirkan pada Januari lalu.
“Nyawa anak saya terancam pada bila-bila masa akibat jangkitan bakteria, virus dan sekiranya pemindahan tulang sumsum itu tidak lakukan dia juga tidak boleh hidup sehingga usia satu tahun.
“Susulan itu, doktor menasihatkan saya melakukan pemindahan sumsum tulang selepas didapati sepadan dan ia akan dibuat di sebuah hospital di Kuala Lumpur pada hujung bulan ini selepas menjalani kemoterapi,” katanya dalam kenyataaan.
Tambah Jia Re, bagaimanapun, pendapatannya sebagai penghantar barang dengan gaji RM3,000 sebulan tidak mampu menganggung kos pemindahan tulang sumsum yang berjumlah RM125,000.
Sementara itu, Pengerusi One Hope Charity & Welfare, Datuk Chua Sui Hau berkata, perkembangan Crayson adalah normal namun satu perbezaan dia dengan bayi lain adalah tidak mempunyai antibodi dalam badan.
Jelasnya, bayi itu juga tidak boleh disuntik dengan vaksin BCG atau lain-lain selain perlu dikuarantin di rumah untuk mengelak terkena jangkitan kuman.
“Crayson perlu mengambil antibiotik setiap hari dan perlu ke hospital untuk suntikan intravenous immunoglobulin (IVIG) setiap tiga minggu untuk membantu meningkatkan daya tahan sistem imunnya.
“Selain itu, disebabkan tidak mampu menampung kos pemindahan tulang sumsum dan ubat-ubatan menyebabkan pasangan itu meminta bantuan kami (One Hope Charity) mengumpulkan dana awam.
“Sumbangan orang ramai amat diperlukan dan i boleh disalurkan terus ke dalam Public Bank akaun 3193433435 atas nama One Hope Charity& Welfare,” katanya. – MalaysiaGazette