KUALA LUMPUR – Kerajaan telah menyediakan pelbagai inisiatif untuk memajukan Pendidikan dan Latihan dan Teknikal Vokasional (TVET) di negara ini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara berkata ini termasuklah dengan penglibatan 12 kementerian dalam Majlis TVET, yang jelas menunjukkan komitmen kuat negara untuk memajukan bidang berkenaan.
Beliau berkata sistem permohonan TVET baharu UP_TVET juga telah diperkenalkan untuk memudahkan pelajar mendaftar masuk ke pusat pembelajaran TVET, selain itu kerjasama antarabangsa dalam memberikan pendidikan dan latihan TVET juga telah diperluas.
“Saya sangat yakin bahawa institusi TVET mampu melahirkan tenaga kerja mahir yang pastinya akan mendapat tempat di industri kerana tahap kebolehpasaran yang tinggi. Ini adalah bukti bahawa TVET merupakan pilihan yang tepat bagi mereka yang ingin mencapai kejayaan dalam kerjaya mereka,” katanya dalam catatan di laman X hari ini.
Ahmad Zahid berkata TVET adalah kunci kepada masa depan yang cerah dan untuk itu, beliau sering menekankan pentingnya untuk generasi muda mempersiapkan diri dengan kemahiran baharu bagi bersaing di arena global.
Beliau berkata TVET tidak hanya menyediakan pengetahuan teknikal, tetapi juga membentuk sikap dan kemahiran praktikal yang diperlukan dalam industri.
“Dengan tenaga kerja mahir dan berpengetahuan, kita mampu meningkatkan produktiviti dan membawa inovasi dalam semua sektor ekonomi,” katanya.
Bersempena sambutan Hari TVET Negara 2024 hari ini, Ahmad Zahid berharap ia akan menjadi pencetus semangat kepada generasi muda untuk lebih berani menceburi bidang pendidikan teknikal dan vokasional.
Beliau berkata dengan kemahiran dan latihan yang tepat, negara akan dapat melahirkan tenaga kerja berkualiti yang mampu bersaing di peringkat global.
Beliau seterusnya menjemput orang ramai ke Sambutan Hari TVET Negara 2024 yang akan diadakan di Institut Latihan Perindustrian Kuala Langat, Banting, Selangor pada 7 dan 8 Jun ini.
— BERNAMA