UPSI, Darul Quran Singapura meterai MoU

TANJUNG MALIM – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Darul Quran Singapura memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi program pesisir antarabangsa pertama di universiti berkenaan untuk Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Pendidikan Islam).

UPSI dalam satu kenyataan memaklumkan, MoU berkenaan disempurnakan oleh Penasihat Undang-Undang, Salwati Mohd Aris dan Dekan Fakulti Sains Kemanusiaan, Prof Madya Ts Dr Nor Kalsum Mohd Isa, sebagai mewakili UPSI.

Sementara Darul Quran Singapura pula diwakili Pengerusi Eksekutif Kanan, Azman Mohd Ariffin, serta Bendahari, Azmi Abdul Rahim.

Menurutnya, MoU yang ditandatangani di Darul Quran Singapura itu turut disaksikan delegasi UPSI iaitu Prof Madya Dr Husna Husain, Prof Madya Dr Abd Rahman Abd Ghani, Ah-Luqman Al-Hakim Che Zahari, Prof Madya Dr Ridzwan Che Ros serta M. Sasigaran.

Menerusi kenyataan sama, Salwati memberitahu, langkah berkenaan adalah sebagai usaha mengukuhkan hubungan lanjutan dari kerjasama sedia ada antara UPSI dengan Darul Quran Singapura selama ini.

“Kepercayaan besar dan pengiktirafan yang diberikan oleh Darul Quran Singapura diharapkan akan menaikkan nama baik UPSI serta mampu menyebarkan ilmu serta maklumat berkaitan Pendidikan Islam dengan lebih luas lagi.

“Dengan termeterainya perjanjian itu, diharapkan ia berjaya menghasilkan graduan yang memiliki kualiti dan ilmu yang cemerlang serta mampu menyumbang ke arah Pendidikan Islam di Singapura nanti.

“Melalui MoU ini, UPSI mampu memberikan khidmat pemindahan ilmu dan perkongsian kepakaran yang terbaik kepada bakal graduan yang dihasilkan, khususnya dalam bidang Pendidikan Islam,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Selain itu, Salwati berkata, program Sarjana Muda Pendidikan (Pendidikan Islam) adalah antara program yang sangat dikenali dan diperlukan oleh ramai pihak khususnya di negara ini.

Jelas beliau, ia kerana program yang bermula seawal tahun 2007 itu berjaya menghasilkan ratusan graduan yang berkhidmat sebagai guru Pendidikan Islam di sekolah-sekolah di Malaysia.

“MoU terbabit antara lain bakal merancakkan bidang-bidang kerjasama dengan Darul Quran Singapura dalam aktiviti akademik.

“ Ia seperti penyelidikan, penerbitan, penganjuran seminar serta bengkel, program pertukaran pensyarah, serta aktiviti-aktiviti dalam bidang akademik dan kemasyarakatan untuk kepentingan bersama yang akan memberikan manfaat kepada kakitangan kedua-dua institusi ini,” katanya lagi. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Petronas agih i-Fitri Zakat Kampus RM100,000 kepada mahasiswa UPSI

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI