Muhammad Faizal Shah YDP MPM Ke-16

LUMUT – Muhammad Faizal Shah Safian Suri secara rasmi mengangkat sumpah dan menandatangani watikah pelantikan sebagai Yang Dipertua (YDP) Majlis Perbandaran Manjung (MPM) Ke-16 di Dewan Kaunselor, MPM pada Selasa.

Majlis tersebut disaksikan Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Perak, Sandrea Ng Shy Ching, pengarah jabatan dan barisan ahli majlis.

Muhammad Faizal Shah telah secara rasmi memulakan tugas sebagai YDP semalam menggantikan Syamsul Hazeman Md Salleh yang dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak berkuat kuasa 1 April lalu.

Anak kelahiran Ipoh, Perak berusia 45 tahun ini berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer dari Universiti Sains Malaysia dan Sarjana Sains (Pentadbiran dan Pembangunan Tanah) dari Universiti Teknologi Malaysia.

Sebelum dilantik menjadi YDP, beliau berkhidmat sebagai Pengarah Pejabat Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah Negeri Perak.

Muhammad Faizal Shah angkat sumpah YDP MPM Ke-16
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Manjung, Muhammad Faizal Shah Safian Sur (kiri) bersama Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching (tengah) pada Majlis Angkat Sumpah Yang Dipertua Majlis Perbandaran Manjung (MPM) baharu di Dewan Kaunselor, MPM Perak. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 11 JUN 2024.

Shy Ching ketika ditemui hari ini berkata, kerajaan negeri percaya pengalaman dan pengetahuan Muhammad Faizal Shah dalam perkhidmatan sebelum ini akan banyak membantu dalam membangunkan MPM.

“Seperti kita tahu, MPM antara pihak berkuasa tempatan (PBT) terpenting di Perak dan kita memang dalam sasaran untuk menaik taraf sebagai bandar raya.

“Cuma setakat ini, di peringkat Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) syarat-syarat PBT untuk naik taraf dan yang berkaitan sedang diteliti semula dan kita juga menunggu apa garis panduan terkini berhubung perkara berkenaan,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, MPM akan terus berusaha dalam meningkatkan hasil untuk menambah baik perkhidmatan bagi memenuhi syarat yang diperlukan untuk dalam perancangan untuk menaik taraf sebagai bandar raya pelancongan dan maritim yang sinonim dengan daerah ini.

Muhammad Faizal Shah angkat sumpah YDP MPM Ke-16
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching (duduk, tengah) bergambar bersama barisan pegawai dan ahli majlis pada Majlis Angkat Sumpah Yang Dipertua Majlis Perbandaran Manjung (MPM) baharu di Dewan Kaunselor, MPM Perak. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 11 JUN 2024.

Sementara itu, Muhammad Faizal Shah berkata, susulan daripada pelantikan ini, beliau telah mengusulkan beberapa perancangan antaranya mempersiapkan MPM menuju ke arah menjadi Majlis Bandar Raya.

“Kita juga akan memastikan MPM kekal menjadi PBT terbaik di peringkat negeri dan kebangsaan serta terus memberi penekanan kepada aspek penguatkuasaan undang-undang dan peraturan,” jelasnya.

Katanya, PBT itu akan melaksanakan tindakan yang efektif bagi menuju Bandar Raya Pelancongan dan Maritim menjelang 2030.

Beliau turut memaklumkan beberapa pengiktirafan turut berjaya diperoleh sepanjang 101 hari MPM beroperasi tanpa YDP.

“Dalam tempoh tersebut, antara pengiktirafan tertinggi yang diterima adalah Anugerah Khas Keselamatan Perlindungan Peringkat Kebangsaan Tahun 2023 (5 Bintang – Cemerlang) dan Anugerah Perdana Keselamatan Perlindungan Tahun 2023 Kategori Pihak Berkuasa Tempatan pada 28 Mei 2024.

“Selain itu, Taman Paya Bakau Bandar Lumut berjaya memperoleh 5 Rosa-Sinensis bagi Anugerah Rosa-Sinensis Penarafan Taman Awam semasa Sambutan Hari Landskap Negara 2024 pada 26 Mei lalu,” ujarnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Syamsul Hazeman dilantik Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI