Ibu Zayn Rayyan beri keterangan depan majistret bukan pengakuan bersalah – Peguam

PETALING JAYA – Mahkamah Majistret hari ini merekodkan bantahan pihak pembelaan terhadap permohonan pihak polis untuk mendapatkan pengakuan salah daripada ibu kanak-kanak autisme, Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matiin.

Peguam yang mewakili wanita tersebut Mahmud Jumaat berkata, bantahan dibuat selepas anak guamnya dibawa oleh pihak polis hari ini untuk membuat permohonan di bawah Seksyen 26(1) Akta Keterangan 1950.

Bagaimanapun katanya, ibu Zayn tidak membuat pengakuan bersalah, sebaliknya memberikan keterangan di hadapan Majistret, Zhafran Rahim Hamzah.

“Pengakuan di bawah Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak boleh digunakan dalam mahkamah, kecuali pengakuan tersebut dibuat di hadapan majistret. Dalam kes ini prosedur dibuat PDRM untuk (mendapatkan) ada atau tidak pengakuan salah yang dibuat anak guam.

“Namun menariknya di sini, anak guam tidak membuat sebarang pengakuan salah sebaliknya beliau membuat keterangan kepada Majistret. Anak guam tekankan beliau tidak buat pengakuan salah sebaliknya memberi keterangan yang sangat berlainan dengan apa yang telah diuar-uarkan di luar sana,” katanya kepada media di pekarangan Kompleks Mahkamah Petaling Jaya.

Terdahulu katanya, ibu kanak-kanak yang ditemui maut di sungai berdekatan Apartment Idaman, Damansara Damai Disember lalu itu memberi keterangan selama lebih kurang sejam.

Prosiding tersebut berjalan secara tertutup.

Sehubungan itu, beliau meminta masyarakat supaya tidak menyebarkan sebarang spekulasi berhubung kes berkenaan.

Sementara itu, peguam bapa Zayn Rayyan turut memfailkan bantahan yang sama.

Fahmi Abdul Moin berkata, bantahan dibuat kerana permohonan prejudis terhadap anak guamnya dan berisiko menjejaskan kes pada masa akan datang.

Tambah beliau, pasukan pembelaan juga tidak dimaklumkan terlebih awal berkenaan permohonan polis pada hari ini.

“Asas bantahan kami dalam Kanun Tata Cara Jenayah tidak ada apa-apa dinyatakan proses yang jelas tentang permohonan seperti ini di mana kami juga bertanyakan pihak pegawai penyiasat tidak dimaklumkan lebih awal.

“Bantahan telah direkodkan pihak mahkamah, atas tidak ada apa-apa peruntukan khusus kami juga menyatakan ianya sangat perjudis terhadap dua anak guam yang tidak dibawa,” ujarnya.

Fahmi turut menyifatkan prosiding yang berlangsung pada hari ini sebagai luar biasa dan ‘illegal’.

Tempoh reman bagi kedua-dua ibu bapa Zayn Rayyan tamat pada esok.

Terdahulu mereka direman tujuh hari pada 1 Jun lalu.

Tempoh reman kemudian disambung enam hari lagi sehingga Khamis. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI