Pengusaha bas sekolah naikkan tambang akan ditarik lesen – PM

PUTRAJAYA – Para pengusaha bas sekolah diberi amaran untuk tidak menaikkan tambang perkhidmatan kerana perkhidmatan itu menerima subsidi diesel daripada kerajaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sekiranya kenaikan tambang berlaku sehingga membebankan pelajar, kerajaan tidak teragak-agak mengambil tindakan dengan menarik balik lesen mereka.

“Bagi amaran, kalau kamu diberi subsidi minyak, kamu naikkan (kadar tambang)…kamu jaga.

“Kalau naik, kami tarik (balik) lesen,” katanya Ketika berucap dalam program ‘Himpunan Aspirasi MADANI Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam Bersama Perdana Menteri’ di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Semalam, dua persatuan mewakili sektor pengangkutan berkata bantuan kad fleet di bawah program Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) membantu pengusaha bas sekolah dan bas ekspres mengekalkan tambang sedia tanpa membebankan pengguna.

Presiden Persekutuan Persatuan Bas Sekolah Malaysia Amali Munif Rahmat berkata, kuota 1,800 liter diesel sebulan dengan harga RM1.88 seliter yang terus dinikmati mereka membolehkan kos operasi dikekalkan.

SKDS antara inisiatif diperkenalkan kerajaan untuk mengurangkan beban pengusaha sektor pengangkutan awam darat dan barangan dengan penerima kad fleet boleh membeli diesel di bawah harga runcit.

Mulai Isnin lalu, kerajaan menetapkan harga bahan api itu pada kadar RM3.35 seliter di Semenanjung Malaysia menerusi pelaksanaan penyasaran subsidi diesel yang mampu menjimatkan RM4 bilion setahun.

Selain SKDS, kerajaan juga melaksanakan inisiatif Budi Madani yang menyalurkan RM200 sebulan kepada pemilik kenderaan diesel persendirian, petani dan pekebun kecil.

Dalam pada itu, Anwar berkata, penelitian yang teliti dilakukan kerajaan dalam melaksanakan penyasaran subsidi diesel agar rakyat tidak terbeban.

Beliau berkata, disebabkan itu, nelayan dan pekebun kecil juga menikmati subsidi diesel.

Beliau juga meminta pengusaha sekolah yang tidak menerima subsidi diesel lagi mengambil feet card mereka.

“Kalau betul belum dapat ambil fleet card, kita bayar,” katanya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI