RM4 bilion untuk projek air Sungai Perak-Bukit Merah – Anwar

BAGAN SERAI – Kerajaan bersetuju menyalurkan peruntukan bagi projek penyaluran air di Sungai Perak ke Empangan Bukit Merah yang sebahagiannya akan digunakan untuk pembekalan air terawat ke Pulau Pinang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia akan disalurkan melalui projek pembangunan Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP) yang melibatkan kawasan seluas 1,000 ekar di sini.

“Kerajaan bersetuju pada dasarnya, walaupun bukan untuk tahun ini (dilaksanakan), sebaliknya tahun ini permulaan awal (langkah-langkah perancangan awal) kita akan sediakan.

“Ini kerana projek ini kita harus jadikan sebagai projek keutamaan, untuk kepentingan rakyat Perak terutamanya di kawasan utara negeri dan juga di Seberang Perai Selatan. Dan ia adalah langkah penyelesaian jangka panjang.

“Kalau projek ini selesai (dapat dilaksanakan kelak), maknanya (ia mampu memenuhi keperluan) untuk puluhan tahun akan datang untuk di Kerian, KIGIP, dan Seberang Perai di Pulau Pinang,” katanya.

RM4 bilion projek rawatan air mentah Sungai Perak ke Empangan Bukit Merah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian KIGIP
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika merasmikan Majlis Peluncuran Pelan Induk Taman Perindustrian Bersepadu Hijau Kerian (KIGIP) di Dewan Dato Zainal Abidin Zin, Bagan Serai.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad. Foto ABDULLAH YUSOF, 15 JUN 2024.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Pelan Induk Taman KIGIP di Dewan Dato Zainal Abidin Zin, dekat sini, pada Sabtu.

Hadir sama, Menteri Besar Perak,Datuk Seri Saarani Mohamad dan Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz serta Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, pelaksanaan projek penyaluran air dari Sungai Perak itu juga dilihat perlu bagi memenuhi keperluan sumber air yang banyak ekoran KIGIP yang akan dijana melalui sumber tenaga hijau iaitu tenaga solar.

RM4 bilion projek rawatan air mentah Sungai Perak ke Empangan Bukit Merah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian KIGIP
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika merasmikan Majlis Peluncuran Pelan Induk Taman Perindustrian Bersepadu Hijau Kerian (KIGIP) di Dewan Dato Zainal Abidin Zin, Bagan Serai.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad. Foto ABDULLAH YUSOF, 15 JUN 2024.

Tambah Anwar, langkah ke arah pengurusan air sungai utama di Perak itu juga mampu membantu kerajaan mengurus soal bekalan air dan isu banjir dengan lebih baik.

Malah ujar beliau, ia juga boleh menyelesaikan masalah kekurangan bekalan air pada musim kering khususnya bagi tujuan pertanian yang melibatkan kawasan di sekitar Bagan Serai dan Parit Buntar.

“Menurut kajian, bekalan air di Sungai Perak ini kalau diurus dengan baik maka ia boleh selesaikan dua masalah iaitu banjir dan keperluan bekalan air.

“Tatkala saya menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan menjelaskan perkara ini yang mana jika diurus dengan baik, bekalan air dari Sungai Perak bukan sahaja cukup, malah melebihi.

“Akan tetapi prosesnya itu harus lebih teliti dan memerlukan kerjasama penuh kerajaan negeri (bersama Persekutuan),” ujarnya.

Dalam pada itu, Anwar bersetuju kepada permohonan kerajaan negeri yang mengusulkan untuk diwujudkan laluan jalan raya susur keluar baharu antara Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan kawasan di KIGIP.

“Keperluan kepada infrastruktur termasuk jalan raya, sebagaimana yang diminta (Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad).

“Peruntukan awal setakat melibatkan pembinaan susur keluar itu RM60 juta, (dan oleh itu) kita harus segerakan,” kata beliau lagi.

Mengulas lanjut tentang taman perindustrian itu, Anwar meminta agar syarikat-syarikat yang akan beroperasi kelak untuk memberi keutamaan kepada tenaga mahir tempatan.

Justeru, beliau menyarankan agar kemudahan latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dapat dibangunkan di KIGIP sebagai membantu anak-anak tempatan untuk memenuhi keperluan industri. – MG PERAK

 

Artikel Berkaitan:

Projek Air Pulau Pinang-Perak berita baik selepas lima dekad – PBAPP

Perak mohon bina susur keluar baharu KIGIP ke PLUS

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI