IPOH – Kenaikan harga diesel baru-baru ini turut memberi tempias kepada sebahagian peniaga yang berdepan masalah kekurangan pelanggan.
Tinjauan di Pasar Besar Ipoh hari ini, mendapati keadaan pasar utama di sini sedikit lengang walaupun perayaan Aidiladha akan disambut esok.
Situasi itu diakui peniaga santan, Nurhayati Bafdrul Hissam, 23, yang mendakwa kenaikan harga diesel turut mempengaruhi kehadiran pelanggan ke pasar berkenaan.
Menurutnya, keadaan itu sedikit menjejaskan perniagaan mereka kerana bahan jualan kurang mendapat sambutan seperti sebelum ini.
“Penarikan subsidi diesel menyebabkan sambutan daripada pelanggan berkurang kerana mereka takut untuk berbelanja lebih walaupun pada musim perayaan.
“Pelanggan akan berbaris untuk membeli santan tidak kira pada musim perayaan apa sekali pun, bagaimanapun keadaan amat berbeza pada tahun ini.
“Lazimnya pada hari perayaan kami akan menyediakan lebih kurang 100 kilogram (kg) santan untuk dijual namun sambutan daripada pelanggan dilihat kurang menggalakkan,” kata generasi ketiga Kak Teh Santan yang sudah menjalankan perniagaan itu sejak 60 tahun lalu.
Peniaga sayur-sayuran, Muhamad Fitri Yahya, 35, berkata, faktor ekonomi dan kenaikan harga diesel antara punca pelanggan kurang berbelanja di gerainya.
“Harga diesel pun baharu naik jadi tiada perbezaan yang ketara namun kekurangan pelanggan memang saya dapat rasakan.
“Perniagaan saya merosot kira-kira 30 peratus berbanding sehari sebelum perayaan Aidiladha tahun lalu,” jelasnya yang mewarisi perniagaan ibunya itu.
Sementara itu, Mohd Ari Firdaus Abd Malik, 33, yang menjalankan perniagaan daging lembu berkata, setakat ini masih ramai pelanggan mengunjungi gerainya.
Katanya, harga yang ditawarkan masih berpatutan iaitu RM38 untuk sekilo daging lembu segar tempatan dan RM25 untuk daging lembu import.
“Pada waktu perayaan memang ramai beli daging untuk raya korban esok dan berhubung kenaikan harga diesel, setakat ini jualan kami belum terjejas namun kami tidak dapat menjangka apa yang akan berlaku pada masa akan datang,” katanya yang menyediakan kira-kira 300 kg daging lembu segar untuk dijual sehari sebelum perayaan Aidiladha.
Pada 10 Jun lalu, harga diesel di stesen runcit di seluruh Semenanjung Malaysia ditetapkan pada harga RM3.35 sen seliter.
Perkara itu diumumkan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan yang turut memaklumkan harga diesel tanpa subsidi itu akan ditetapkan secara mingguan. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Kerajaan sedia baiki kelemahan penyasaran subsidi diesel – Anwar