KUALA LUMPUR – Seorang warga emas kerugian RM2.2 juta akibat terpedaya dengan penipuan pelaburan saham dalam talian
Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, pihaknya menerima laporan mengenai penipuan tersebut daripada seorang lelaki berusia 75 tahun semalam yang mendakwa telah menjadi mangsa penipuan itu.
“Menurut mangsa, pada 19 Disember lalu semasa berada di rumah di Johor Bahru, mangsa telah menerima pesanan melalui WhatsApp yang mengiklankan pelaburan dalam pembelian saham melalui aplikasi.
“Mesej tersebut memberi penerangan berkenaan cara melabur dan menjanjikan keuntungan lumayan, mudah dan dalam masa yang singkat,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Menurut Kumar, tertarik dengan keuntungan yang dijanjikan, warga emas itu telah mengikut arahan suspek dengan memuat turun aplikasi diarahkan serta mendaftar akaun di aplikasi tersebut bagi memantau pelaburannya.
Tambah beliau, mangsa seterusnya memulakan pelaburan pada Mel dan Jun 2024 dengan memasukkan wang ke dalam beberapa akaun bank atas arahan suspek berjumlah RM2.276 juta.
Jelasnya, lelaki itu melihat status pelaburannya di aplikasi yang diberikan dan mendapati ia mencatatkan keuntungan berjumlah RM12.9 juta.
“Teruja dengan keuntungan yang dipaparkan, mangsa memutuskan untuk mengeluarkan wang keuntungan yang diperolehi,” ujarnya.
Bagaimanapun, Kumar berkata, sebelum itu, suspek mengarahkan mangsa membayar komisyen berjumlah RM1.6 juta dan mangsa tidak membuat pembayaran tersebut kerana mengesyaki dia telah ditipu lalu membuat laporan polis.
Katanya, kes disiasat di bawah kesalahan menipu menurut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak melebihi 10 tahun dan dengan sebatan dan boleh dikenakan denda. – MalaysiaGazette