IPOH – Seorang ahli perniagaan bersyukur kerana masih dapat melaksanakan ibadah korban setiap tahun sejak 25 tahun lalu.
Muhammad Jaafar Hamdan, 47, berkata, walaupun ibadah korban itu bukan satu kewajipan namun setiap kali perayaan Aidiladha tiba pasti dia akan melaksanakannya.
Bapa kepada dua orang anak ini berkata, dia melakukan ibadah tersebut selepas selesai menunaikan solat sunat Aidiladha di masjid berkenaan pagi tadi.
“Sehingga hari ini, saya sudah melaksanakan ibadah korban di masjid yang sama sejak berusia 22 tahun. Setiap tahun antara tiga ke empat ekor kambing yang akan kami korbankan.
“Niat saya melakukan ibadah korban ini adalah untuk amal jariah selain membantu golongan yang memerlukan.
“Lazimnya, kambing menjadi haiwan untuk melaksanakan ibadah tersebut dan ada juga lembu,” katanya ketika ditemui di Masjid India Muslim Ipoh di sini, pada Isnin.
Dalam perkembangan berkaitan, Muhammad Jaafar yang menjalankan perkhidmatan pengangkutan dan logistik berkata, setiap kali ibadah korban dilaksanakan dia hanya mengambil sedikit sahaja bahagian dan selebihnya diberikan kepada golongan memerlukan.
“Daging-daging korban yang saya dapat itu saya hanya ambil segenggam untuk saya dan yang lain semua diagihkan kepada fakir miskin.
“Saya juga sudah berpesan kepada anak-anak saya, jika saya sudah tiada, InsyaALLAH mereka akan mewarisi ibadah korban ini,” ujarnya.
Sementara itu, Pengerusi Masjid India Muslim Ipoh, Shaikh Mujibur Rahman Mohd Yusoff berkata, sebanyak 159 ekor kambing disembelih pada Hari Raya Aidiladha pada tahun ini.
Menurutnya, program yang diadakan sejak 1987 itu melibatkan ahli kariah masjid dan sukarelawan yang berada di sekitar bandar raya ini.
“Kira-kira 110 petugas membabitkan ahli kariah masjid dan sukarelawan terlibat pada program tahun ini dan sebanyak 850 kilogram daging kambing diagihkan kepada 1,000 orang terdiri daripada orang ramai dan fakir miskin,” jelasnya.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Ibadah Korban masjid tersebut berkata, selain kambing, seekor lembu juga akan dikorbankan pada Rabu ini.
“Setiap tahun antara 150 ke 170 ekor kambing akan dikorbankan. Pada tahun ini, harga bagi seekor kambing untuk ibadah korban bernilai RM950.
“Selain itu, kita turut menyediakan makan tengah hari iaitu beriani kambing untuk dihidangkan kepada semua petugas yang terlibat dalam ibadah korban pada hari ini,” katanya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
‘Nak bawa mak, ayah ke syurga, tetapi hidayah itu milik Allah’