LUMUT – Seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera selepas kereta yang mereka naiki dipercayai terbabas sendiri dalam nahas di Jalan Kampung Acheh, Sitiawan dekat sini awal pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, kereta jenis Proton Saga itu dinaiki empat orang lelaki dan dua daripada mereka berusia dalam lingkungan 20-an sudah meninggalkan lokasi kemalangan sebelum ketibaan pihak bomba.
Menurutnya, bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu sekitar jam 5.34 pagi dan anggota serta pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sitiawan digerakkan ke lokasi bagi menjalankan operasi menyelamat.
“Sewaktu tiba di lokasi kita mendapati seorang mangsa berusia 24 tahun tersepit dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Seorang lagi mangsa berusia 27 tahun cedera dan dihantar ke hospital, untuk mendapatkan rawatan,” katanya dalam satu kenyataan media pada Jumaat.
Beliau berkata, mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan susulan.
“Operasi yang diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan II Firdaus Ziker tamat jam sepenuhnya jam 6.22 pagi,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan: