LENGGONG – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) diminta turun ke Lenggong bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi melihat pembangunan yang boleh dilaksanakan di Tapak Warisan Dunia itu.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kerajaan negeri telah menjemput Perdana Menteri untuk ke Lenggong pada Ogos depan dan setakat ini beliau sudah menyatakan persetujuan secara lisan berhubung perkara tersebut.
“Oleh itu, MOTAC datanglah ke mari (Lenggong), sementelah kita jemput Perdana Menteri datang bersama supaya Perdana Menteri dapat lihat sendiri apa yang boleh kita bangunkan (di Lenggong).
“Kita jemput Perdana Menteri turut Ogos depan memandangkan terdapat pelbagai program dianjurkan antaranya Lenggong Archeology Symposium, Lenggong Heritage Run dan Lenggong Food Festival bersempena Tahun Melawat Perak (TMP) 2024.
“Banyak benda lagi untuk kita bangunkan kawasan ini (Lenggong) untuk jangka masa panjang, itu tujuan kita nak bawa Perdana Menteri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan perasmian Sambutan Ulangtahun Ke-12 Pengiktirafan Lembah Lenggong sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pelajaran, Sains, dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) di Resort Tasik Raban, malam tadi.
Hadir sama, Timbalan Menteri Dalam Negeri merangkap Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.
Dalam pada itu, Saarani berharap MOTAC dapat memberi perhatian kepada Lenggong serta menyalurkan peruntukan bersesuaian bagi menambah baik infrastruktur di kawasan berkenaan.
“Kita memahami bahawa peruntukan yang besar ada pada MOTAC. Kerajaan negeri ada juga sumbangan tapi peruntukan kita adalah terhad. Jadi, kita mohon peruntukan daripada MOTAC untuk menambah naik dari segi infrastruktur.
“Selain itu, kita minta supaya MOTAC dapat memberi perhatian kepada Lenggong kerana saya tahu MOTAC sudah berbelanja besar di Melaka, Langkawi.
“Jadi saya yakin sudah tiba masanya MOTAC datang ke Perak khususnya di Lenggong melihatkan kepada momentum yang sudah kelihatan sangat baik, kalau mereka tidak datang membantu ia akan jadi ‘terencat’,” ujarnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan itu turut memaklumkan sebelum ini mungkin ramai tidak faham faedah menerusi pengiktirafan UNESCO dan geopark di kawasan berkenaan namun kini persepsi itu telah berubah.
“Dulu orang tak faham apa perlunya dapat pengiktirafan UNESCO, apa perlunya buat geopark, tapi sekarang orang dah tahu.
“Bila kita dapat menarik pengunjung yang ramai datang ke sini, banyak orang dapat berniaga. Dulu ada booth (reruai) satu, dua sekarang ada berpuluh-puluh booth.
“Orang ramai akan datang dan mereka akan berbelanja di sini. Orang berniaga gerai seperti cenderamata, homestay (inap desa) akan dapat keuntungan,” jelasnya. -MG Perak
Artikel Berkaitan:
ODF24 platform terbaik promosi Lenggong di persada antarabangsa