IPOH – Dua usul persendirian akan dibentang dan dibahaskan pada Mesyuarat Kedua, Tahun Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ke-15.
Sidang yang bakal berlangsung di Bangunan Perak Darul Ridzuan selama tiga hari bermula 9 hingga 11 Julai ini.
Speaker DUN Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid berkata, dua usul persendirian itu diterima daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Keranji, Angeline Khoo Hai Yen dan ADUN Simpang Pulai, Wong Chai Yi.
Menurutnya, usul pertama yang dikemukakan ADUN Keranji adalah mengenai cadangan memperkenalkan Enakmen atau Peraturan baharu berkaitan pengawalan haiwan-haiwan berkeliaran di negeri Perak dengan mewujudkan satu Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan yang dianggotai oleh Ahli-Ahli Dewan Negeri.
“Usul tersebut pada asalnya hanya mengehadkan kepada lembu dan kerbau, tetapi Speaker telah menggunakan kuasanya di bawah Perintah Tetap untuk meminda sedikit usul yang telah dihantar kepada kepada pihak dewan dengan memasukkan semua haiwan-haiwan berkeliaran.
“Maknanya ia tidak terhad kepada lembu kerbau sahaja. Mungkin melibatkan anjing liar, babi hutan, gajah dan sebagainya.
“Manakala, usul kedua oleh ADUN Simpang Pulai berhubung cadangan mengadakan persidangan khas bagi menangani isu fenomena cuaca ekstrem dan perubahan iklim serta banjir kilat yang akan memberi kesan kepada kehidupan rakyat di negeri ini.
“Seramai enam orang ADUN akan diberikan peluang untuk berbahas bagi setiap usul pada persidangan pertama dan kedua melibatkan tiga dari blok kerajaan manakala tiga lagi daripada blok pembangkang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Mesyuarat Kedua, Tahun Kedua, DUN Perak ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Khamis.
Hadir sama, Setiausaha DUN Perak, Abdul Majid Abdul Rahim dan Timbalan Speaker DUN Perak yang juga ADUN Canning, Jenny Choy Tsi Jen.
Dalam perkembangan sama, Mohammad Zahir berkata, pada sidang kali ini tempoh sesi soalan lisan akan berlangsung selama tiga jam.
“Sebelum ini, kita pernah ada sidang dewan yang kita buat satu jam saja soalan lisan dan ada masa kita bagi satu jam setengah atau dua jam tetapi kali ini kita buat tiga jam.
“Ini bukan menjadi satu kemestian kepada setiap sidang dewan, tetapi untuk sidang dewan kali ini sahaja,” jelasnya.
Mohammad Zahir juga turut membenarkan Ahli-Ahli Dewan Negeri memakai batik pada hari Khamis namun hanya batik Malaysia sahaja dibenarkan bukan dari Indonesia, Vietnam, Kemboja danA Afrika. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Menteri Besar, Saarani Mohamad Bentang Belanjawan Perak 2024