Mansuh arahan kuarantin COVID-19: Perak akan keluar pemberitahuan terkini

IPOH – Kerajaan Negeri Perak akan mengeluarkan pemberitahuan terkini berkenaan individu yang dijangkiti wabak COVID-19 susulan pemansuhan arahan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian (HSO) atau kuarantin di rumah, pada Selasa depan.

Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Negeri, A Sivanesan berkata, setakat ini pemakluman berkenaan arahan yang meliputi termasuk penjawat awam itu masih dikekalkan.

kuarantin positif COVID-19 kes demam denggi perak kesihatan jabatan sivanesan
Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A Sivanesan pada sidang media majlis perasmian Minggu Promosi Kesihatan Pergigian anjuran Bahagian Kesihatan Pergigian Jabatan Kesihatan Negeri Perak di Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 06 JULAI 2024.

Namun ujarnya, pemakluman baharu akan dikeluarkan agar ia selari dengan arahan atau syor daripada Kementerian Kesihatan (KKM).

“Berdasarkan situasi semasa, penularan COVID-19 di Perak adalah terkawal, yang mana tiada masalah kekurangan katil yang dihadapi mana-mana premis Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) susulan.

“Justeru, kebimbangan ketika ini bukan kepada COVID-19, sebaliknya adalah tertumpu kepada penularan kes demam denggi yang telah merekodkan enam kes kematian baru-baru ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Minggu Promosi Kesihatan Pergigian anjuran Bahagian Kesihatan Pergigian JKN Perak di Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz, dekat sini, pada Sabtu.

kuarantin positif COVID-19 kes demam denggi perak kesihatan jabatan sivanesan
Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A Sivanesan ketika berucap pada majlis perasmian Minggu Promosi Kesihatan Pergigian anjuran Bahagian Kesihatan Pergigian Jabatan Kesihatan Negeri Perak di Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 06 JULAI 2024.

Program yang diadakan untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat tentang kepentingan menjaga kesihatan mulut itu turut dihadiri, Pengarah Jabatan Kesihatan Perak, Dr Feisul Idzwan Mustapha.

Pada Jumaat media melaporkan, individu yang positif COVID-19 tidak lagi dikenakan perintah kuarantin di rumah dan tidak perlu melaporkan status positif ujian kendiri dalam aplikasi MySejahtera berkuat kuasa 15 Julai ini.

KKM dalam satu kenyataan melaporkan, peraturan baharu itu turut terpakai kepada pemakaian pelitup muka, di mana individu disahkan positif jangkitan ittu hanya digalak memakai pelitup muka, meminimumkan interaksi sosial serta mengelakkan tempat sesak.

Dalam perkembangan sama, Dr Feisul Idzwan mengingatkan agar masyarakat lebih cakna terhadap perkembangan kes demam denggi yang semakin meningkat di negeri ini.

Ujarnya, walaupun pihak berkuasa tempatan boleh melakukan aktiviti semburan kabus atau ‘fogging’, namun soal kebersihan setempat harus dijadikan keutamaan semua pihak.

“Nyamuk tidak mengenal sesiapa, dan dia boleh membiak dan menjangkiti sesiapa sekiranya kita tidak mengambil tanggungjawab menjaga kebersihan di persekitaran rumah.

“Kes COVID-19 ketika ini tidak membimbangkan dan serius, namun JKN akan sentiasa memantai bilangan kes yang dinotifikasi,” ujar beliau. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Covid-19: Tiada lagi perintah kuarantin di rumah mulai 15 Julai

Perak rekod 161.9 peratus peningkatan kes denggi, enam kematian

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI