IPOH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, ummah perlu mengambil iktibar akan pentingnya memiliki sifat sabar dan sifat gigih ketika memperkenalkan sesuatu perkara baharu.
Baginda bertitah, pendekatan strategik perlu diambil supaya perkara baharu yang mahu diperkenalkan dapat disampaikan secara terang dan jelas supaya benar-benar difahami sebelum dapat diterima.
Titah baginda, perkara baharu perlu disampaikan melalui daya komunikasi dan penyampaian yang berkesan.
“Pendekatan berhati-hati dan tidak gopoh dipilih atas kesedaran baginda (Rasulullah SAW) bahawa cetusan perkara baharu memerlukan masa untuk mendapat pemahaman sebelum dapat diterima dan dihayati.
“Manusia memerlukan fahaman yang jelas dan masa yang munasabah sebelum dapat menerima dan menghadamkan sesuatu perkara baharu,” titah baginda.
Baginda bertitah sempena Majlis Sambutan Maal Hijrah 1446H/2024M Peringkat Negeri Perak di Pusat Konvensyen Casuarina @ Meru, Bandar Meru Raya di sini pada Ahad.
Sementara itu, Sultan Nazrin bertitah, dalam dunia yang semakin menghadapi konflik dan dilanda perpecahan, strategi Rasulullah SAW yang pernah menghasilkan kejayaan, hendaklah dikunjungi, dikaji, diterokai, difahami dan diadaptasi untuk menawarkan harapan baharu.
“Dengan mengkaji pendekatan baginda, ummah boleh mendapat pengajaran dan panduan berharga untuk urusan-urusan penyelesaian konflik, perundingan, pembangunan masyarakat, serta untuk memperlengkapkan diri menghadapi cabaran semasa.
“Mengamati sirah, ternyata Rasulullah SAW seorang strategis, bijak merancang, melaksana, menilai dan mengambil langkah penambahbaikan hingga risalah Islam berjaya disebarkan dengan pesat dan meluas.
“Meski mencapai kemenangan dan mencipta kejayaan, baginda kekal bersifat sederhana, mengamalkan sifat-sifat kemanusiaan yang tinggi dan sentiasa insaf akan taraf baginda hanya seorang hamba di sisi ALLAH SAW,” titah baginda.
Sultan Perak turut bertitah bahawa, Rasulullah SAW seorang strategis, bijak merancang, melaksana, menilai serta mengambil langkah penambahbaikan hingga risalah Islam berjaya disebarkan dengan pesat dan meluas.
Titah baginda, meskipun Rasulullah SAW mencapai kemenangan dan mencipta kejayaan namun baginda kekal bersifat sederhana, mengamalkan sifat-sifat kemanusiaan yang tinggi dan sentiasa insaf akan taraf baginda hanya seorang hamba di sisi ALLAH SAW.
“Ketika melangkah masuk ke tahun baharu Hijrah 1446, sewajarnya ummah menjadikan panduan dan pedoman pemikiran strategik Rasulullah SAW yang berperanan utama membolehkan syiar Islam berkembang dengan menakjubkan.
“Inisiatif baginda yang memperkenalkan langkah-langkah inovatif berjaya menyatukan puak-puak yang berselisih menjadi ummah yang bersatu, serta kejayaan membentuk nilai kemanusiaan sejagat, wajib dijadikan pegangan oleh pemimpin semasa.
“Kepimpinan baginda hendaklah dijadikan contoh teladan bagaimana kepimpinan yang berwawasan dan hikmah yang abadi berupaya melakukan transformasi meskipun berhadapan pelbagai dugaan, cabaran dan halangan,” titah baginda.
Pada majlis itu, Sultan Nazrin turut berkenan menyampaikan Anugerah Tokoh Maal Hijrah Negeri Perak bagi tahun 1446 Hijrah kepada Pensyarah Kanan Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Profesor Madya Dr Ahmad Husni Hasan.
Turut berangkat, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.
Berangkat sama, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Sultan Idris Shah; Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Abdul Halim Mu’adzam Shah.
Keberangkatan tiba Sultan Nazrin sekitar jam 10 pagi itu disambut Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Hadir sama, Mufti Perak, Datuk Seri Dr Wan Zahidi Wan Teh; Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Tan Sri Mohd Annuar Zaini dan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Harith Fadzilah Abdul Halim. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Sultan Nazrin lancar buku Kesan Globalisasi Terhadap Pembangunan Perak Dalam Dua Abad
[…] Sabar, jangan gopoh dalam perkenal perkara baharu – Sultan Perak […]
[…] Sabar, jangan gopoh dalam perkenal perkara baharu – Sultan Perak […]