LPHP, JPN selamatkan projek rumah terbengkalai di Perak

IPOH – Lembaga Perumahan Hartanah Perak (LPHP) dengan kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Perumahan Negara (JPN) akan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi menyelamatkan projek perumahan bermasalah dan terbengkalai di negeri ini.

Exco Perumahan Dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching berkata, kerjasama tersebut perlu dilaksanakan supaya projek bermasalah atau terbengkalai di negeri ini dapat diteruskan sama ada menerusi pemaju asal atau pemaju lain.

“Kerjasama lebih erat perlu sama ada projek tersebut dapat diteruskan dengan pemaju asal atau pemaju lain untuk menyelamatkan projek terlibat yang baru dilantik.

“Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) juga sedang mengkaji tindakan tegas akan diambil ke atas pemaju terlibat serta membantu kerajaan negeri menyelesaikan isu projek yang mengalami kelewatan dan terbengkalai,” katanya.

LPHP, Jabatan Perumahan Negara jalin kerjasama selamatkan projek rumah terbengkalai
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kepayang, Nga Kor Ming mengemukakan soalan tambahan pada Mesyuarat Kedua, Tahun Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 09 JULAI 2024.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Nga Kor Ming (PH-Kepayang) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, pada Selasa.

Dalam pada itu, Shy Ching memaklumkan Rumah Perakku di Trolak dan Hulu Bernam dalam Daerah Muallim terbengkalai disebabkan beberapa faktor yang tidak dapat dielakkan.

“Melalui perbincangan LPHP dengan pemaju yang terkini kita dimaklumkan bahawa untuk projek di Trolak pihak pemaju perlu tempoh lapan bulan untuk selesai.

“Ini melibatkan beberapa permohonan melibatkan majlis dan agensi berkenaan yang telah tamat tempohnya dan pihak pemaju sekarang dalam usaha untuk mendapatkan kelulusan daripada pihak berkuasa supaya dapat meneruskan kerja berkenaan.

“Pemaju memerlukan masa dua bulan untuk mendapatkan kelulusan semula dan enam bulan untuk menyelesaikan baki kerja bagi projek di Trolak.

“Setakat ini, kemajuan pembangunan di tapak tersebut adalah sebanyak 78 peratus,” jelasnya.

Seterusnya, bagi projek di Hulu Bernam dijangka siap dalam tempoh 12 bulan dengan dua bulan untuk peroleh kelulusan semula manakala bakinya untuk menyelesaikan kerja di tapak dengan kemajuan sebanyak 40 peratus,” ujarnya.

Beliau amat memahami isu kelewatan yang timbul untuk menyiapkan projek berkenaan.

“Bagaimanapun kerajaan negeri melalui LPHP akan memantau dari semasa ke semasa serta terus mengambil tindakan sewajarnya supaya kedua-dua projek dapat disiapkan dengan baik untuk memenuhi hasrat komuniti setempat,” katanya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Rumah siap tidak terjual: Pemaju digesa teliti, buat kajian pasaran

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI