Insiden sesak nafas Menteri Pengangkutan tiada kaitan serangan jantung

IPOH – Insiden sesak nafas yang berlaku ke atas Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook pada sidang Dewan Rakyat Rabu lalu tiada kaitan dengan serangan jantung.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, kejadian yang menimpa Siew Fook itu dipercayai disebabkan masalah kecergasan.

Menurutnya, ketika kejadian, Menteri Pengangkutan terbabit berada dalam keadaan tergesa-gesa ke Parlimen atas faktor kesesakan lalu lintas memandangkan tempoh masa untuk beliau menjawab soalan di Dewan Rakyat sudah tiba.

“Sesampai sahaja beliau dekat lobi Parlimen, beliau terus ke dewan dan menjawab soalan sehingga berlaku kesesakan nafas.

“Jadi, tiada berkaitan dengan serangan jantung atau apa-apa (penyakit lain), it is all about fitness of individual. Kalau sudah berkejar-kejar atau berlari, kadang-kadang boleh tercungap-cungap,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Kongres ASEAN ke-13 dan Kongres Kesihatan Perak ke-10 di hotel Kinta Riverfront di sini, pada Jumaat.

Hadir sama, Pengarah Kesihatan Negeri Perak, Dr Feisul Idzwan Mustapha dan Pengarah Program, Dr G Nantha Kumar.

Dalam pada itu, Lukanisman memaklumkan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menggalakkan semua ahli Parlimen untuk melakukan saringan kesihatan secara mandatori sebagai langkah awal bagi mengesan sebarang penyakit.

“Insiden yang berlaku kepada Menteri Kesihatan secara tidak langsung telah membuka mata kepada masyarakat umum supaya masing-masing memainkan peranan untuk menjaga kesihatan,” ujarnya.

Rabu lalu, sidang Dewan Rakyat sedikit cemas apabila Siew Fook kelihatan tidak selesa dan percakapannya tersekat-sekat ketika memulakan sesi jawab lisan.

Beliau menjawab soalan dikemukakan Wong Chen (PH-Subang), soalan pertama mengikut Aturan Mesyuarat sebelum tiba-tiba batuk, tercungap-cungap dan memohon diberikan sedikit masa untuk menenangkan dirinya.

Siew Fook turut menepuk dadanya beberapa kali, sambil memberi isyarat kepada timbalannya, Datuk Hasbi Habibollah, yang turut berada di dalam Dewan, untuk meneruskan sesi itu. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

KKM rancang digitalkan buku derma darah

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI