Rakyat bebas berbeza politik, tapi jangan sampai doa keburukan – Saarani

IPOH – Mendoakan keburukan termasuk melalui bacaan doa Qunut Nazilah kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pimpinan kerajaan bukan sebahagian daripada yang dianjurkan dalam Islam.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, walaupun rakyat di negara ini bebas untuk berbeza fahaman politik namun, tindakan seumpama itu tidak seharusnya dibenarkan.

Katanya, sekiranya perkara itu terus dibiarkan ia dikhuatiri akan mewujudkan situasi buruk dan tidak harmoni dalam kalangan masyarakat.

Doa Qunut Nazilah Islam umat kerajaan keburukan politik rakyat menteri besar perak saarani ulama
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad ketika berucap pada Program Jelajah Madani Ulama’ Dan Umara’ Peringkat Negeri Zon Utara (Perak, Perlis, Kedah dan Pulau Pinang) di Hotel Casuarina@Meru, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 13 JULAI 2024.

“Janganlah kita didik anak kita satu ketika nanti, hanya kerana marahkan kepada pengetua sekolah, maka dia tulis dalam (laman sosial) Facebook mengajak orang ramai untuk berdoa musibah ke atas pengetua.

“Jangan nanti ia dibiarkan berlarutan, maka anak yang marah kepada ibunya, juga mengajak orang ramai mendoakan perkara buruk kepada ibu kandungnya sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian pada program Jelajah Madani Ulama’ dan Umara’ Peringkat Negeri Zon Utara 2024 di Pusat Konvensyen Casuarina, Meru Raya, di sini, pada Ahad.

Doa Qunut Nazilah Islam umat kerajaan keburukan politik rakyat menteri besar perak saarani
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menyampaikan anugerah Tokoh Imam Mithali negeri Perak kepada Mohd Hanafiah Idris 54, yang juga bekas anak muridnya pada Program Jelajah Madani Ulama’ Dan Umara’ Peringkat Negeri Zon Utara (Perak, Perlis, Kedah dan Pulau Pinang) di Hotel Casuarina@Meru, Ipoh.
Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar. Foto ABDULLAH YUSOF, 13 JULAI 2024.

Ia dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar; Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim; Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Tan Sri Mohd Annuar Zaini; serta Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Hakimah Mohd Yusoff.

Pada program, disampaikan anugerah Tokoh Imam Mithali, Tokoh Guru Takmir Mithali, dan Tokoh Guru KAFA Mithali kepada para penerima dari Perak, Pulau Pinang, Kedah serta Perlis.

Terdahulu Mohd Na’im dalam ucapanya berkata, pihaknya mengesan video pendek di aplikasi TikTok yang memaparkan tulisan mendoakan keburukan kepada Perdana Menteri, Menteri Kabinet dan penyokongnya serta menggunakan bunyi latar bacaan Qunut Nazilah.

Doa Qunut Nazilah Islam umat kerajaan keburukan politik rakyat menteri besar perak saarani ulama
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar pada Program Jelajah Madani Ulama’ Dan Umara’ Peringkat Negeri Zon Utara (Perak, Perlis, Kedah dan Pulau Pinang) di Hotel Casuarina@Meru, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 13 JULAI 2024.

Justeru itu, Saarani meminta agar semua pihak untuk mewujudkan suasana harmoni dalam kalangan masyarakat termasuk mendidik golongan muda ke arah kebaikan.

“Sebagai bekas pendidik, saya mengingatkan semua pihak untuk mendidik anak kita sebagaimana kita hendak mendidik orang lain,” ujar beliau.

Terdahulu, Saarani berkata, kepentingan peranan ulama dan umara atau pemimpin tidak dapat dinafikan dalam memastikan kesejahteraan serta keharmonian masyarakat.

Ujar beliau, keprihatinan terhadap kepentingan semua lapisan rakyat tanpa mengira latar belakang amat penting dalam memastikan kestabilan politik, kemakmuran ekonomi dan perpaduan nasional dapat direalisasikan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad bersalaman dengan penerima anugerah Tokoh Imam Mithali negeri Kedah, Mokhtar Zakaria 71, yang juga bekas gurunya pada Program Jelajah Madani Ulama’ Dan Umara’ Peringkat Negeri Zon Utara (Perak, Perlis, Kedah dan Pulau Pinang) di Hotel Casuarina@Meru, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 13 JULAI 2024.

“Pemerintah yang mendukung amanah besar ini perlu melaksanakannya dengan penuh integriti, bertunjangkan prinsip keadilan, jauh dari sifat mementingkan diri yang akhirnya boleh menjejaskan dan memudaratkan kepentingan rakyat.

“Sesungguhnya, cabaran dalam mendepani gelombang perubahan zaman yang melanda ummah pada hari ini amat besar.

“Serangan pemikiran yang berterusan, sama ada dari dalam atau luar negara, sedikit sebanyak mengikis nilai-nilai murni dan mencabar persefahaman yang telah terjalin sekian lama antara kaum dan agama,” katanya lagi. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Tauliah mengajar agama bukan sekat penyebaran Islam  – Saarani

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI