‘King of Rhythm’ harmonikan gendang India dengan muzik pelbagai kaum

Malaysia merupakan antara negara yang kaya dengan budaya, kesenian dan adat resam pelbagai kaum sehingga menggamit kehadiran pelancong luar negara bagi melihat sendiri keunikan berkenaan.

Setiap kaum di Malaysia mempunyai alat muzik masing-masing malah usaha menyatukan kesemua instrumen ini dalam persembahan kesenian menjadikan negara kita unik dengan perpaduan dan keharmonian.

Maka tidak hairanlah apabila adanya individu mahu pun kumpulan tertentu yang bukan hanya berkemahiran memainkan peralatan muzik kaum masing-masing malah juga kaum lain.

Bagi S.Subain, 53, kemahiran memainkan gendang masyarakat India dimanfaatkan bekas pensyarah ini dengan menggabungkan alunan muzik dari kaum lain seperti Melayu, Cina dan Iban.

Presiden Persatuan Seni Kebudayaan India Greentown ini berkata, minat beliau dengan gendang India bermula sejak berusia enam tahun sebelum mula mengikuti latihan secara serius pada umur lapan tahun.

Presiden Persatuan Seni Kebudayaan India Greentown, S.Subain, 53, atau gelaran ‘King of Rythm’ harmonikan gendang India dengan muzik pelbagai kaum di kediamannya, Tambun. Foto ABDULLAH YUSOF, 17 JULAI 2024.

Menurut beliau, kebolehannya itu tidak diwarisi daripada sesiapa sebaliknya melalui sokongan mendiang bapanya yang menyedari minat anak lelakinya itu.

“Saya amat meminati bunyi gendang India bila ada yang main saya akan duduk dan mendengar alunan muzik yang dihasilkan sehingga mendiang bapa menyedari minat saya.

“Saya kemudiannya dihantar ke kelas dan guru-guru melihat jari saya panjang dan mengatakan ia sesuai untuk bermain gendang India,” katanya kepada Malaysia Gazette (MG) Perak.

Tambah Subain, meskipun mengikuti kelas gendang India bapanya tetap menekankan pentingnya pelajaran dan beliau berjaya memperoleh ijazah dalam pengurusan perniagaan.

“Apabila memperoleh pekerjaan tetap saya menjadikan gendang India sebagai kerja sambilan ketika bercuti dan saya kemudiannya mengambil keputusan berhenti sebagai pensyarah dan bermain gendang secara sepenuh masa bermula tahun ini,” katanya.

‘King of Rhythm’ boleh bermain lapan gendang India

Subain yang menerima gelaran ‘King of Rhythm’ berkata, dia boleh bermain lapan jenis gendang India yang digunakan untuk pelbagai upacara seperti sembahyang, perayaan dan perkahwinan.

Presiden Persatuan Seni Kebudayaan India Greentown, S.Subain, 53, atau gelaran ‘King of Rythm’ ketika ditemubual Malaysia Gazette di kediamannya, Tambun. Foto ABDULLAH YUSOF, 17 JULAI 2024.

Katanya gelaran itu diterima daripada salah sebuah universiti di India kerana kemampuan saya bermain pelbagai jenis ritma gendang India, Melayu, Cina dan Sarawak.

“Saya juga pernah dianugerahkan sebagai pemain muzik paling pantas di Malaysia dan ia amat membanggakan kerana ada pihak menghargai titik peluh saya selama ini.

“Bagi saya kebolehan dan kejayaan yang saya terima ini merupakan anugerah daripada tuhan,” katanya.

Subain berkata, pada mulanya dia bermain Thavil dan Tabla masyarakat India sebelum mempelajari enam lagi gendang yang dimahirinya itu.

King of Rhythm gendang india
Bagi Subain kemahiran memainkan gendang masyarakat India dimanfaatkan bekas pensyarah ini dengan menggabungkan alunan muzik dari kaum lain seperti Melayu, Cina dan Iban. Foto ABDULLAH YUSOF, 17 JULAI 2024.

Katanya lagi, enam pergendangan India lain yang dimainkannya adalah Dholak, Naal, Manjira (kompang India), Ghatam, Uduku (pergendangan di kuil) dan Tamborine.

“Kesemua pergendangan ini saya pelajari dalam tempoh 38 tahun dan selalunya saya akan bermain di majlis perkahwinan, di kuil serta mengikuti mana-mana jemputan persembahan,” katanya.

Harmonikan tabla dalam persembahan lagu Melayu, Cina

Bercerita lanjut, anak kelahiran Ipoh, Perak ini berkata, sepanjang bergiat selama 38 tahun dalam pergendangan India, dia berjaya mencungkil satu lagi kebolehan iaitu menyatukan gendang India dengan ritma muzik lagu-lagu kaum lain.

Katanya, bakat berkenaan disedari semasa terdapat kumpulan kaum Melayu dan Cina mencari pemuzik tradisional India untuk membuat persembahan bersama mereka.

“Mereka mengatakan sukar mencari pemain gendang India yang boleh menyatukan ritma lagu dengan muzik yang dimainkan dan saya memberanikan diri untuk mencuba.

Kompang hadiah yang diterima Presiden Persatuan Seni Kebudayaan India Greentown, S.Subain, 53, atau gelaran ‘King of Rythm’ di kediamannya, Tambun. Foto ABDULLAH YUSOF, 17 JULAI 2024.

“Cubaan saya berhasil bila mengikut konsep fusion yang ditetapkan pengarah muzik dengan memasukan instrumen tabla dan bila orang dengar ia sangat sedap.

“Antara lagu yang saya mainkan adalah Joget Tok Kaduk, Cindai dengan Kumpulan Selendang Perak di mana kita mengikut ritma mereka dan tidak menukarnya supaya ia menjadi harmoni,” katanya.

Ujarnya lagi, sebagai rakyat Malaysia yang hidup dalam berbilang kaum memainkan alat muzik kaum masing-masing dalam satu persembahan menunjukkan semangat perpaduan dan menyatukan keluarga Malaysia.

Subain berkata, dia berharap agar ada generasi muda Melayu dan Cina yang datang mempelajari pergendangan India dan begitu juga sebaliknya.

“Pergendangan India bukan hanya dimainkan di kuil sahaja tetapi banyak acara jadi jangan risau boleh datang belajar dan sama-sama kita perkukuhkan perpaduan kaum,” katanya. -MG Perak

Artikel Berkaitan:

MGPerak: JKKN Mengangkat Seni Warisan Bukan Sekadar Tari – Menari

MGPerak: ‘King Of Rhythm’ Harmonikan Gendang India Dengan Muzik Pelbagai Kaum

MGPerak: ‘King Of Rhythm’ Harmonikan Gendang India Dengan Muzik Pelbagai Kaum

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI