Bermodal RM40, pekasam Kak Lia tambat hati pelanggan

MESKIPUN serba kekurangan dan menghadapi pelbagai cabaran, pasangan suami isteri asnaf dari Kampung Padang Luas, Lenggong tetap tekad melangkah ke hadapan dalam mengharungi liku-liku dunia perniagaan dalam bergelar sebagai usahawan desa.

Peribahasa ‘alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan’ digenggam erat Jamaliah Ramli, 47 apabila perniagaan yang hanya bermula di dapur kecil di rumahnya kini berjaya berkembang dengan membuka kedai makan sendiri.

pekasam Kak Lia Lenggong Related Keyphrase: usahawan asnaf Lenggong, ikan pekasam Perak, Rumah Makan Ikan Sungai, pekasam tradisional, usahawan desa Perak
Jamaliah Ramli, 47, menunjukkan bungkusan ‘Pekasam’ dan ‘Sambal Garing Ikan Pekasam’ di bawah jenama ‘Z&R’ di Rumah Makan Ikan Sungai, di Kampung Padang Luas, Lenggong. Foto ABDULLAH YUSOF 18 MEI 2026.

Ibu kepada 16 anak yang berasal dari Kampung Baru di Kuala Lumpur itu berkata, keputusan berhijrah ke Lenggong bersama suami Zulkifli Shaari, 50, kira-kira lapan tahun lalu tidak memudarkan minatnya dalam berniaga.

Mesra disapa ‘Kak Lia’, Jamaliah berkata, perniagaan kedai makan ‘Rumah Makan Ikan Sungai’ yang diusahakan sejak lebih setahun yang itu sebagai memberi peluang orang ramai merasai masakan kampung yang berasaskan kepada lauk ikan darat.

Menurutnya, menu berasaskan ikan seperti ikan sebarau, lampam, loma, toman dan tengalan diperoleh dari Tasik Raban yang menjadi ikon di daerah Lenggong serta kampung halaman kepada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

“Rumah Makan Ikan Sungai ni kami wujudkan sebagai tanda terima kasih kepada pelanggan dan kawan-kawan yang sentiasa menyokong perniagaan kami.

“Antara menu seperti gulai masak lemak ikan tengalan bersama belimbing buluh sering menjadi pilihan antara utama pelanggan,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette (MG) Perak di Rumah Makan Ikan Sungai, di Kampung Padang Luas, Lenggong.

pekasam Kak Lia Lenggong Related Keyphrase: usahawan asnaf Lenggong, ikan pekasam Perak, Rumah Makan Ikan Sungai, pekasam tradisional, usahawan desa Perak
Rumah Makan Ikan Sungai, di Kampung Padang Luas, Lenggong. Foto ABDULLAH YUSOF 18 MEI 2026.

Jamaliah berkata, usaha mempromosikan perniagaannya melalui media sosial mendapat reaksi luar biasa sehingga ia tular serta dikenali bukan sahaja masyarakat di Perak, malah menjangkau hingga ke Johor dan Sarawak.

Dia berkata, hasil sokongan dan promosi daripada pemain industri pelancongan daerah, kedainya turut menerima kehadiran pelancong dari luar negara termasuk China, Taiwan, India, Poland serta Singapura yang ingin merasai sendiri keunikan ikan pekasam Lenggong.

“Ada antara mereka yang pertama kali makan pekasam terus berdiri dari kerusi makan, sebab terkejut dengan rasa unik terhadap ikan pekasam Lenggong,” katanya sambil tersenyum.

Bermula daripada modal RM40

Berkongsi tentang detik awal perniagaan, Jamaliah berkata, dia bersama suami memulakan perusahaan kecil-kecilan dengan menghasilkan produk pekasam menerusi modal permulaan sekitar RM40.

Katanya, produk utama dikenali sebagai ‘Pekasam’ dan ‘Sambal Garing Ikan Pekasam’ di bawah jenama ‘Z&R’ yang mana ia dihasilkan secara tradisional dengan penekanan terhadap aspek kualiti dan kebersihan.

Proses membungkus ikan pekasam di bawah jenama ‘Z&R’ di Rumah Makan Ikan Sungai, di Kampung Padang Luas, Lenggong. Foto ABDULLAH YUSOF 18 MEI 2026.

Menurut Jamaliah, pada peringkat awal tiada guru khusus yang membimbingnya dalam menghasilkan produk pekasam, sebaliknya ia dipelajari melalui video media sosial serta tunjuk ajar individu berpengalaman setempat secara tidak formal.

Dia turut berkongsi apabila percubaan awal untuk menghasilkan pekasam yang sempurna sering diuji dengan kegagalan apabila ada antaranya menjadi busuk, terlalu masin dan tidak boleh dimakan.

pekasam Kak Lia Lenggong Related Keyphrase: usahawan asnaf Lenggong, ikan pekasam Perak, Rumah Makan Ikan Sungai, pekasam tradisional, usahawan desa Perak
Pelanggan merasai masakan kampung yang berasaskan kepada lauk ikan darat di Rumah Makan Ikan Sungai, di Kampung Padang Luas, Lenggong. Foto ABDULLAH YUSOF 18 MEI 2026.

“Berbekalkan pengalaman dalam dunia masakan sebelum ini, saya perlahan-perlahan mula perbaiki balik apa yang salah dalam penghasilan pekasam.

“Apabila ada orang yang berpengalaman tegur dan berkongsi ilmu, saya ambil. Dan proses untuk saya dapat hasilkan pekasam dengan baik ambil masa kira-kira dalam tempoh tujuh bulan,” ujarnya.

Tambahnya lagi, selain bantuan suami, ikan-ikan air tawar mentah yang diproses untuk menjadi produk pekasam turut diperoleh daripada nelayan-nelayan darat setempat.

pekasam Kak Lia Lenggong Related Keyphrase: usahawan asnaf Lenggong, ikan pekasam Perak, Rumah Makan Ikan Sungai, pekasam tradisional, usahawan desa Perak
Pemilik ‘Pekasam’ dan ‘Sambal Garing Ikan Pekasam’ di bawah jenama ‘Z&R’, Jamaliah Ramli, 47, di Rumah Makan Ikan Sungai, di Kampung Padang Luas, Lenggong. Foto ABDULLAH YUSOF 18 MEI 2026.

Bantuan agensi kembangkan perniagaan

Jamaliah berkata, perkembangan perusahaan yang diusahakan bersama suami turut dibantu pelbagai agensi termasuk Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Menurutnya, antara bantuan diterima termasuk daripada segi mesin pengisar, peti sejuk, pembungkusan dan pelekat label produk, serta geran dan pinjaman kewangan.

Jamaliah Ramli, 47, menunjukkan ‘Sambal Garing Ikan Pekasam’ di bawah jenama ‘Z&R’ di Rumah Makan Ikan Sungai, di Kampung Padang Luas, Lenggong. Foto ABDULLAH YUSOF 18 MEI 2026.

Malah katanya, dia turut menerima bantuan berbentuk pelbagai perkakasan dapur daripada pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan merangkap Menteri Besar Perak.

“MAIPK memang banyak beri bantuan dan dorongan kepada perniagaan kami bermula dengan penyediaan pelbagai siri kursus sehingga kepada pembungkusan produk.

“Malah, MARA juga berperanan dalam mempromosikan produk saya selain penyediaan bantuan kewangan untuk besarkan lagi kedai,” ujarnya.

Jamaliah berkata, hasil usaha berterusan bersama suami dan sokongan anak-anak, perniagaan keluarganya itu kini mampu menjana pendapatan kasar hampir RM11,000 sebulan.

Tambahnya lagi, kejayaan tersebut tidak akan dicapai tanpa sokongan suami yang sentiasa memberi dorongan untuk dia terus maju dalam bidang perniagaan.

pekasam Kak Lia Lenggong Related Keyphrase: usahawan asnaf Lenggong, ikan pekasam Perak, Rumah Makan Ikan Sungai, pekasam tradisional, usahawan desa Perak
Jamaliah Ramli, 47, menunjukkan ikan pekasam di bawah jenama ‘Z&R’ di Rumah Makan Ikan Sungai, di Kampung Padang Luas, Lenggong. Foto ABDULLAH YUSOF 18 MEI 2026.

“Selain idea untuk berniaga, suami merupakan insan yang banyak bagi semangat dan keyakinan kepada saya. Dia selalu cakap bahawa saya boleh berjaya dan dia yang sering tolak ke hadapan saya untuk pergi kursus, belajar dan terus dalam dunia perniagaan ini,” ujarnya

Pada masa sama Jamaliah turut berkongsi agar golongan asnaf dan masyarakat luar bandar untuk tidak takut menceburi dalam dunia perniagaan di samping sentiasa menimba ilmu.

“Kita jangan takut untuk bangunkan diri sendiri. Jangan takut kalau kita buat salah atau kecewa. Sebaliknya sentiasa bersemangat untuk mencapai kehidupan yang lebih baik untuk keluarga.

“Jika kita tidak tahu hendak mendapat ilmu, pelbagai agensi negeri dan Persekutuan, seperti MAIPk ada menyediakan banyak kursus perniagaan secara percuma yang boleh memberi dorongan kepada kita,” katanya lagi.

Perkembangan ini membuktikan peranan penting agensi sebagai penggerak usahawan, seperti MAIPk sebagai antara peneraju di bawah flagship Program Pembolehdayaan Modal Insan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat dalam pelan Perak Sejahtera 2030, cetusan idea Menteri Besar Perak. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Pekasam ikan loma permata Gerik

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI