Perak teroka pelaburan RM200 juta projek tenaga hijau di Tanjong Tualang

IPOH – Perak meneroka prospek pelaburan sehingga RM200 juta bagi membangunkan projek tenaga hijau berasaskan konsep ‘floating aqua-voltaic’ di Tanjong Tualang.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, prospek pelaburan itu diteroka menerusi Memorandum Kerjasama Strategik (MOC) antara Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) dengan Shuifa Energy Group Co. Ltd. (Shuifa) dalam satu majlis yang diadakan di Shandong, China.

Menurutnya, memorandum itu menjadi asas kepada kerjasama antara Perak SADC dan Shuifa bagi menilai potensi pembangunan projek yang menggabungkan penjanaan tenaga solar, penggunaan tanah serta kawasan kolam atau bekas lombong secara optimum, selain aktiviti akuakultur secara mampan.

“Pemeteraian memorandum itu turut melibatkan kajian teknikal, komersial, undang-undang dan kawal selia bagi menilai daya maju projek, termasuk struktur kerjasama, model pelaksanaan, keperluan kelulusan dan manfaat kepada komuniti setempat.

“Langkah itu mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam memperkukuh hubungan pelaburan strategik, khususnya dalam sektor tenaga hijau, kelestarian serta pembangunan ekonomi berimpak tinggi,” katanya dalam satu kenyataan.

Perak teroka pelaburan RM200 juta projek tenaga hijau di Tanjong Tualang
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Kerjasama Strategik (MOC) antara Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) dengan Shuifa Energy Group Co. Ltd. (Shuifa) di Shandong, China. Foto Facebook Saarani Mohamad

Beliau berkata, fokus awal kerjasama adalah penerokaan projek ‘floating aqua-voltaic’ berkapasiti 30 megawatt puncak (MWp) di Tanjong Tualang tertakluk kepada kajian kebolehlaksanaan, kelulusan pihak berkuasa dan pemuktamadan perjanjian komersial.

Tambahnya, kerjasama itu juga dijangka membuka ruang kepada perkongsian kepakaran teknikal, pelaburan dan teknologi dalam pembangunan projek tenaga boleh baharu di Perak.

“Shuifa telah menyatakan hasrat pelaburan awal secara indikatif sekitar RM180 juta hingga RM200 juta dalam tempoh tiga tahun,” jelasnya.

Shuifa Energy Group adalah syarikat milik kerajaan wilayah Shandong yang mempunyai pengalaman dalam sektor air, pertanian moden, tenaga bersih dan perlindungan alam sekitar.

Misi Perdagangan dan Pelaburan kerajaan negeri ke China yang berlangsung dari 17 hingga 24 Mei itu turut melibatkan beberapa sesi padanan perniagaan serta lawatan strategik berkaitan sektor automotif, bandar pintar, teknologi digital dan pusat data.

Ini bertujuan untuk memperluas jaringan pelaburan dan meneroka peluang kerjasama baharu untuk Perak. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Pelaburan di Perak kekal berdaya tahan

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI