Warga emas didenda RM78,000, benarkan 13 PATI dalam premis

TELUK INTAN – Seorang penyelia di sebuah pusat kecantikan didenda RM78,000 di Mahkamah Sesyen Teluk Intan, pada Jumaat kerana membenarkan 13 pendatang asing tanpa izin (PATI) berada di premisnya, Januari lalu.

Hakim Intan Nurul Farena Zainal Abidin menjatuhkan hukuman terhadap Leong Siew Me, 63, selepas mengaku salah atas pertuduhan yang dibacakan ke atasnya.

Mengikut pertuduhan, warga emas itu didakwa membenarkan 13 imigran haram iaitu dua lelaki warga Myanmar, empat wanita Vietnam, enam wanita Thailand dan seorang wanita warga Laos berusia antara 20 hingga 40 tahun memasuki serta berada dalam premis yang mana tertuduh mempunyai kawalan ke atas premis tersebut.

Kesalahan dilakukan itu di sebuah premis tidak bernama di Jalan Medan Ipoh 1F, Medan Ipoh Bistari dalam Daerah Kinta pada jam 11 malam, 12 Januari lalu.

Bagi kesalahan itu, wanita berkenaan didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 55E (1) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 55E (2) akta sama.

Jika sabit kesalahan, ia memperuntukkan hukuman denda RM5,000 hingga RM30,000 atau penjara sehingga 12 bulan atau kedua-duanya sekali bagi setiap PATI yang dijumpai di premis.

Tertuduh yang diwakili Peguam Mior Shah Azizi Mior Shaari kemudian memohon mahkamah agar mengenakan denda minimum memandangkan anak guamnya sudah tidak bekerja selain setiap imigran perlu membayar denda.

Menurut beliau, ia merupakan kesalahan pertama tertuduh di samping pengakuan bersalah warga emas itu telah menjimatkan masa serta kos mahkamah.

Mahkamah kemudiannya memerintahkan tertuduh menbayar denda RM6,000 bagi setiap PATI dengan jumlah keseluruhan RM78,000 atau enam bulan penjara sekiranya gagal membayar denda.

Berdasarkan kepada fakta kes, tertuduh telah ditahan semasa serbuan dilakukan anggota Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.

Hasil pemeriksaan lanjut mendapati, premis berkenaan berselindung di sebalik perniagaan kecantikan dengan menawarkan khidmat seks dan pelacuran.

Semua 13 imigran terlibat telah dijatuhkan hukuman pada Februari lalu atas kesalahan di bay Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana telah masuk dan tinggal di negara ini tanpa pas yang sah serta Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana tinggal lebih masa. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

PATI guna helah sakit jantung elak dicekup JIM

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI