Graduan TVET perlu seiring pembangunan taman perindustrian

HASRAT Kerajaan Negeri Perak menjadi koridor Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Malaysia menjelang 2030 perlu selari dengan pembukaan taman-taman perindustrian yang sedang dan akan dibangunkan.

Malah usaha dalam memperkasa dan melahirkan lebih ramai pelajar berkemahiran dalam bidang TVET dilihat sebagai salah satu daripada strategi mengelakkan kebanjiran keluar bakat muda negeri itu.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad sebelum ini pernah berkata, sasaran kerajaan negeri mahu menjadi Koridor TVET negara perlu seiring dengan langkah memenuhi permintaan tenaga kerja.

Beliau juga berkata, ia juga bertujuan menjadikan Perak sebagai sebuah negeri ‘mesra pelabur’ dengan lebih banyak kilang perusahaan yang bakal dibuka menjelang tahun 2030.

Bagi memastikan hasrat itu tercapai institusi latihan kemahiran memainkan peranan penting dalam melahirkan lebih ramai modal insan yang berbakat.

Suasana sekitar reruai pameran Majlis Perasmian Penutup Karnival TVET Perak di Politeknik Sultan Azlan Shah, Behrang. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 30 MEI 2024.

Di Perak terdapat 100 buah institusi yang merangkumi 62 buah institusi TVET dan 38 buah Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) di 12 buah daerah yang menawarkan pelbagai program akademik dan kemahiran.

Kewujudan institusi latihan kemahiran ini merupakan kekuatan Perak dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi di mana kewujudan institusi ini mampu membawa masuk ramai remaja ke negeri ini dan seterusnya mengimbangi migrasi keluar.

Bercakap kepada Malaysia Gazette (MG) Perak, Pengarah Politeknik Ungku Omar (PUO), Dr. Shamsuri Abdullah berkata, asas kepada pembangunan bakat atau modal insan memerlukan kerjasama antara IPT dan agensi-agensi kerajaan.

Menurut beliau, langkah Kerajaan Negeri Perak melalui Pelan Perak Sejahtera 2030 dalam memperkasakan bidang TVET di negeri ini memberi peluang kepada anak tempatan dalam mengisi peluang yang ada.

Katanya, penglibatan semua IPT termasuk politeknik dan kolej komuniti di Perak dalam memperkasakan TVET membolehkan negeri ini melahirkan lebih ramai graduan TVET dengan tenaga kerja berkemahiran selari dengan pembangunan taman perindustrian.

Shamsuri Abdullah.

Menurut Shamsuri pembukaan taman perindustrian seperti Lembah Automotif Berteknologi Tinggi (AHTV) di Tanjung Malim, Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC) di Lumut dan Taman Perindustrian Bersepadu Hijau Kerian (KIGIP) di Kerian, memerlukan lebih ramai tenaga kerja berkemahiran bagi memenuhi permintaan pelabur.

“Kami di PUO sendiri sentiasa memastikan kursus yang ditawar selari dengan perancangan Kerajaan Negeri Perak memandangkan kita merupakan IPT TVET terawal dan tersohor.

“Bagaimanapun kerjasama antara PUO dan kerajaan negeri amat diperlukan dalam menentukan secara spesifik apakah bidang baharu yang mungkin membolehkan kita menawarkannya bagi mengisi kekosongan dan memenuhi keperluan,” katanya.

Jelas beliau, situasi berkenaan memerlukan kerajaan negeri menyediakan tenaga buruh berkemahiran yang dapat memenuhi permintaan sektor-sektor industri di kawasan-kawasan terlibat.

Beliau berkata, Kerjasama dengan kerajaan negeri juga perlu seiring dengan pemain industri bagi mengelak berlakunya lambakan graduan TVET yang tidak memenuhi kriteria syarikat-syarikat pelabur di negeri ini.

SVTP bakal bawa masuk pelaburan RM14 bilion ke Perak
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad mendengar taklimat berkenaan tapak projek Silver Valley Technology Park (SVTP) di Hotel Casuarina Meru, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 08 JANUARI 2024.

“Ini kerana kalau kita hasilkan sahaja graduan TVET tetapi tiada industri yang mengupah mereka bekerja ia akan mendatangkan masalah pada masa hadapan.

“Jadi kita perlu juga berbincang dengan pihak industri bagi memastikan pelajar TVET di Perak apabila sudah tamat pelajaran akan ada tempat unuk mereka bekerja,” katanya.

Ditanya bagaimana PUO mampu menjadi salah sebuah IPT di negeri ini yang menyumbang kepada kejayaan Perak Sejahtera 2030, Shamsuri berkata, semua itu dapat ditentukan melalui kerjasama erat dengan Kerajaan Perak.

“Seperti mana yang saya sebutkan kita memerlukan kerjasama lebih erat dalam menentukan apa bidang khusus dengan pihak Kerajaan Negeri Perak atau anak syarikatnya.

“Kita juga perlu memastikan bahawa kerajaan negeri memainkan peranan dengan menarik pelabur asing untuk meningkatkan pertumbuhan kawasan perindustrian terlibat.

“Pada masa sama kami sebagai IPT pula akan menyalurkan tenaga kerja dalam bidang-bidang dikehendaki,” katanya. -MG Perak

Artikel Berkaitan:

Perak giat bangunkan Koridor TVET, sumbang tenaga mahir industri pelancongan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI