IPOH – Seorang lelaki maut apabila kereta dipandunya terbabas masuk ke dalam longkang di Kilometer (km) 265 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan, di sini pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya bergegas ke lokasi kejadian dan tiba sekitar jam 8.08 pagi.
Menurutnya, ketika tiba di lokasi pihaknya mendapati sebuah kereta jenis Toyota Corolla telah terbabas ke dalam longkang di lebuh raya dan seorang lelaki berada di bawah kereta tersebut.
“Ketua operasi melaksanakan size-up seterusnya mengaplikasikan konsep SAVER dan mengarahkan anggota melakukan kerja menyelamat.
“Lelaki berusia 40 tahun itu disahkan maut oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sejurus dikeluarkan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Suhaimi Abd Samad yang melibatkan membabitkan tujuh anggota dan tamat sepenuhnya jam 9.26 pagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Langgar lubang penunggang motosikal maut digilis kereta