Lelaki tolak isteri jatuh gaung, ugut bunuh ditahan polis

GERIK – Polis menahan seorang lelaki yang dipercayai cuba membunuh isterinya dengan menolak wanita itu sehingga jatuh gaung dalam insiden yang berlaku di KM 31.2 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli, di sini, pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung penemuan mangsa berusia 32 tahun itu di tepi jalan dalam keadaan cedera dan bersendirian pada hari sama.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati, pada 26 Julai lalu sekitar jam 5.30 petang suspek berusia 39 tahun itu telah membawa mangsa dari tempat kerja di Kuala Lumpur menuju ke Perak melalui lebuh raya utama atas alasan mahu pulang ke kampung.

Katanya, sepanjang perjalanan telah berlaku beberapa siri pertengkaran mulut antara mereka.

“Setibanya di satu lokasi ketika dalam perjalanan pada waktu malam, suspek telah menberhentikan kereta dan bertindak mengugut mahu membunuh mangsa dengan sebilah pisau.

“Mangsa merayu dan berlaku pertengkaran dalam kereta sambil suspek mencekik leher mangsa.

“Kemudian, mangsa telah bertindak terjun daripada kereta tetapi dimasukkan semula oleh suspek ke dalam kereta yang dinaiki mereka kemudian memecut sehingga tiba di KM 31.2 JRTB Gerik antara jam 4 dan 5 pagi.

“Sekali lagi berlaku pertengkaran mulut antara suspek dan mangsa. Kali ini suspek telah menarik mangsa keluar dari kereta dan berlaku pergaduhan serta pergelutan di bahu jalan sebelum suspek bertindak menolak mangsa jatuh ke dalam gaung,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, hasil siasatan lanjut mendapati mangsa menyelamatkan diri dengan merangkak naik ke bahu jalan dan ditemui orang awam.

“Pemeriksaan awal oleh pegawai perubatan Hospital Gerik mendapati mangsa mengalami kesan calar, luka serta lebam pada badan dan mangsa kini mendapat rawatan di Hospital Taiping.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan suspek mempunyai beberapa rekod lampau di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB), Akta Kesalahan Kecil serta Kanun Keseksaan,” jelasnya.

Zulkifli berkata, suspek telah ditahan oleh  IPD aling, Kedah semalam kerana terdapat penglibatan kes di daerah berkenaan dan sejurus selesai siasatan suspek akan ditangkap semula oleh IPD Gerik untuk melengkapkan siasatan. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Lelaki serah diri selepas bunuh isteri

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI