IPOH – Berkeluasan lebih satu juta kaki persegi, Sunway Ipoh Mall yang bernilai RM1 bilion di Sunway City Ipoh bakal menjadi pusat beli-belah terbesar di Perak.
Pengasas dan Pengerusi Kumpulan Sunway, Tan Sri Dr Jeffrey Cheah berkata, pembangunan terbaharu merangkumi komponen taman tema, hospitaliti, penjagaan kesihatan, pendidikan, perumahan dan komersial ini dijangka siap sepenuhnya menjelang 2027.
Menurutnya, pusat membeli belah empat tingkat itu akan dilengkapi dengan gelanggang luncur ais pertama di Perak.
Beliau berkata, sebuah pusat pameran, pusat boling 36 lorong, pusat sukan pelbagai guna, taman selera dan pawagam dengan 10 dewan tayangan berkapasiti sekitar 1,500 tempat duduk turut ditempatkan di dalam pusat membeli belah berkenaan.
“Sunway City Ipoh adalah perbandaran bersepadu terbesar di Perak yang kini bernilai RM2 bilion dalam Nilai Pembangunan Kasar (GDV) dengan RM4 bilion GDV sedang dijalankan dalam tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang.
“Sebagai anak jati Perak yang dilahirkan di Pusing, saya amat berbesar hati untuk memainkan peranan dalam membangunkan sebidang tanah ini dan menyumbang ke arah Koridor Pembangunan Timur Ipoh.
“Pusat membeli-belah itu akan menempatkan lebih 500 kedai melibatkan jenama tempatan dan antarabangsa yang dijangka menyediakan peluang pekerjaan untuk sekurang-kurangnya 5,000 penduduk tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Sunway Ipoh Mall di Sunway Onsen Suites, Lost World of Tambun, di sini, pada Khamis.
Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee dan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin.
Dalam pada itu, Jeffrey berkata, menerusi pembukaan Sunway Medical Centre Ipoh yang dijangka beroperasi sepenuhnya menjelang awal tahu depan mampu meningkatkan daya tarikan Sunway City Ipoh sebagai hab pelancongan perubatan di wilayah utara Malaysia.
“Hospital yang dilengkapi dengan lebih 200 katil ini akan menampung populasi Ipoh yang semakin bertambah dan peningkatan permintaan untuk penjagaan kesihatan yang berkualiti dalam kalangan masyarakat,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Sunway Malls, HC Chan yakin lokasi tersebut mempunyai potensi tinggi menjadi destinasi perhentian sementara bagi pengembara di Lebuhraya Utara Selatan, yang mampu mencecah empat juta orang pada musim puncak.
“Kita akan mengukuhkan kedudukan di wilayah utara menerusi pembangunan Sunway Ipoh Mall. Ini adalah sebahagian daripada hala tuju strategik Sunway Malls untuk mengembangkan ruang runcitnya di luar Lembah Klang dengan memanfaatkan pasaran yang kurang mendapat liputan, iaitu replikasi kejayaan Sunway Carnival di Pulau Pinang,” jelasnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Projek mega: Perak giat rancang pembangunan infrastruktur baharu
[…] Sunway Ipoh Mall bernilai RM1 bilion tawar gelanggang luncur ais pertama di Perak […]