Identiti mangsa rentung kemalangan Teluk Intan-Bidor dikenal pasti

TELUK INTAN –  Identiti mangsa rentung yang maut dalam kemalangan membabitkan kereta Honda City di Kilometer (KM) 24 Jalan Teluk Intan-Bidor, lewat malam tadi dikenal pasti hari ini.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, mangsa dikenali sebagai A Mughilan, 28, dari Teluk Intan.

Menurutnya, proses pengecaman mayat telah dilakukan oleh bapa kandung mangsa di Unit Forensik Hospital Teluk Intan pada jam 10 pagi tadi.

“Siasatan awal mendapati kereta Honda City berwarna kelabu yang dipandu mangsa dipercayai dalam perjalanan dari Teluk Intan ke Bidor.

“Bagaimanapun, ketika tiba di tempat kejadian, kenderaan yang dipandu mangsa telah hilang kawalan dan terbabas masuk ke dalam parit di lorong bertentangan lalu terbalik serta terbakar.

“Pihak bomba yang hadir ke lokasi berjaya mengawal api selepas 30 minit dan menemui seorang lelaki rentung di dalam kenderaan berkenaan.

“Akibat kemalangan itu, mangsa yang mengalami kebakaran keseluruhan anggota badan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,“ katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik HTI tengah malam tadi untuk tujuan pengecaman dan bedah siasat.

Katanya, polis akan membawa kenderaan terlibat untuk dihantar bagi pemeriksaan Puspakom.

“Kes disiasat di bawah seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan masih diteruskan bagi mengenalpasti punca sebenar kemalangan.

“Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Muhammad Syamil Abd Manan di talian 011-1006 5817,“ jelasnya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Mayat rentung tanpa identiti ditemui dalam parit

 

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI