MELAKA – Polis menahan seorang pemandu lori selepas dipercayai memukul dan mengugut untuk menyembelih isteri kedua dalam pergaduhan, Sabtu lalu.
Menurut sumber, suspek berusia 58 tahun ditahan di rumahnya di Bukit Katil di sini kira-kira 4 petang Ahad lalu selepas menerima laporan daripada pengadu yang juga isteri kedua.
Siasatan mendapati, kejadian berpunca apabila lelaki itu berang selepas diperli pengadu berusia 49 tahun mengenai hasratnya membawa isteri pertama bercuti di Cameron Highlands minggu hadapan.
“Pertelingkahan berlaku apabila suspek memarahi pengadu untuk menjaga anak lelaki mereka berusia lapan tahun kerana mahu membawa keluarga isteri pertama ke lokasi peranginan itu.
“Jawapan pengadu bagaimanapun menimbulkan rasa tidak puas hati suspek sebelum lelaki itu mencapai sebilah parang dan meletakkannya leher pengadu,” katanya.
Tambahnya, suspek juga didakwa menarik rambut pengadu dan mengheretnya masuk ke dalam bilik sebelum mencampakkannya ke atas katil.
“Suspek dikatakan mengugut untuk sembelih leher pengadu dan kejadian turut disaksikan anak lelakinya itu sebelum wanita itu berjaya melarikan diri.
“Mangsa kemudian terus membuat laporan polis sebelum suspek ditangkap kira-kira pukul 4 petang Ahad lalu di rumahnya di Bukit Katil,” katanya.
Tambahnya pengadu kemudian telah mendapatkan rawatan di Hospital Melaka dan disahkan mengalami kecederaan tisu lembut akibat diserang suaminya itu.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit ketika dihubungi MalaysiaGazette mengesahkan kes berkenaan.
“Tangkapan dibuat Pegawai Polis dari Bahagian (D11) Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di Bukit Katil kira-kira 4 petang Ahad lalu.
“Polis turut merampas sebilah parang yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu,” katanya.
Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 323 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan ugutan jenayah. – MalaysiaGazette